Lindsay takut kembali ke New York

lindsay

 

SELEBRITI Lindsay Lohan mengakui takut untuk kembali ke New York,  Amerika Syarikat (AS) selepas larangan yang dibuat presiden Donald Trump untuk umat Islam ke negara itu.

Kerisauan itu dizahirkan ketika sesi soal jawab secara eksklusif bersama Penyunting Femail, Charlie Lankston di pejabat Dailymail.com dan disiarkan secara langsung di Facebook live.

Lohan dalam temu bual itu mengakui ketakutan itu juga berpunca daripada kehidupannya yang baru di mana lebih mendalami agama Islam.

“Saya baru pulang dari Turki. Di sana saya banyak belajar mengenai pelarian. Kini masa saya banyak ditumpukan kepada kisah-kisah pelarian ini terutamanya dari negara-negara bergolak.

“Seharusnya beliau (Trump) mengubah pendiriannya mengenai pelarian ini. Saya percaya semua rakyat AS akan teguh di belakang pemimpin ini,” katanya.

Lohan juga berharap kerajaan AS akan membantu semua pelarian ini.

“Kalau kerajaan Turki boleh buat, saya yakin AS juga mampu malah lebih lagi membantu sesama manusia,” katanya.

Sementara itu, Lohan turut mengakui sedang mempelajari al-Quran dan Islam namun menyangkal dakwaan sudah memeluk agama Islam.

“Apa yang boleh saya kongsikan, saya rasa tenang dengan ilmu baru ini. Saya belajar sesuatu yang baru yang begitu mendamaikan.

“Agama ini bukan kita boleh tukar dalam masa sehari. Kita perlu belajar dan mendalaminya.

“Segala-galanya mungkin. Ini merupakan perjalanan peribadi saya,” katanya.-SinarHarian

Lain-Lain Berita