1.5 tan ayam sejuk beku untuk Zoo Negara

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Rantau Panjang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan menyerahkan sebanyak 1.5 tan ayam sejuk beku bernilai RM15,000 kepada Zoo Negara di Pejabat MAQIS, kelmarin.

Pengarah MAQIS Negeri Kelantan, Roslan Che At, berkata serahan itu adalah bertujuan untuk memastikan bekalan makanan haiwan kepada Zoo Negara dalam keadaan yang mencukupi.

Katanya, selain dari Zoo Negara, MAQIS turut menyerahkan 500 kilogram (kg) ayam sejuk beku bernilai RM5,000 yang dilucuthakkan kepada pihak Penjara Penor, Pahang.

“Penyerahan ayam sejuk beku berkenaan bagi memenuhi keperluan bekalan bahan mentah untuk dijadikan makanan ternakan ikan keli di bawah program rehabilitasi banduan di Jabatan Penjara Malaysia.

“Kesemua serahan ini hasil sitaan pengimportan keluaran pertanian yang melalui proses undang-undang dan dilucuthakkan kerana tidak mematuhi aspek perundangan seperti mana yang tertakluk di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Hasil sitaan ini dapat memberi manfaat kepada pihak Zoo Negara dan Jabatan Penjara Malaysia serta dalam masa sama dapat menjaga hubungan baik MAQIS dengan agensi lain yang saling memerlukan,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.

Roslan berkata, MAQIS prihatin dalam membantu setiap agensi yang memerlukan bekalan makanan haiwan memandangkan terdapat banyak barangan sitaan yang dilucuthakkan dan tidak perlu dihapus.

“Pegawai MAQIS di pintu masuk negara akan terus komited dan tegas dalam melakukan penguatkuasaan terhadap setiap kontena kursusnya barang dagangan yang membabitkan ayam atau daging.

“MAQIS juga tidak berkompromi dalam aspek halal kerana ini adalah perkara yang paling dititikberatkan oleh masyarakat Malaysia,” katanya.

Sumber: My Metro