1 terbunuh, 25 cedera kereta api tergelincir di Pakistan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
(Gambar hiasan) Sebuah keretapi dalam perjalanan dari Karachi ke Lahore tergelincir dari landasan sebelum terbabit dalam kemalangan. – Foto AGENSI

ISLAMABAD, 24 Rejab 1442 H, Isnin: Seorang wanita terbunuh dan lebih 25 yang lain cedera apabila sembilan daripada 18 gerabak tren penumpang tergelincir di daerah Sukkur, Pakistan.

Ketua Polis Kereta Api Pakistan, Arif Nawaz, berkata tren berkenaan dalam perjalanan dari Karachi ke Lahore, sebelum terbabit dalam kemalangan, lewat pagi tadi.

Berdasarkan siasatan awal, katanya, gerabak tren penumpang itu tergelincir dan jatuh ke dalam gaung, dipercayai berikutan faktor kelajuan.

Pegawai Bahagian Pengangkutan Kereta Api Sukkur, Shahbaz Babar, yang menerajui usaha menyelamat bagaimanapun memaklumkan punca kejadian hanya akan ditentukan selepas siasatan menyeluruh dilakukan.

Beliau berkata, usaha menyelamat dalam insiden membabitkan Karachi Express itu dikendali dan disempurnakan petugas kereta api, pasukan penyelamat swasta dan anggota tentera.

“Dua penumpang yang cedera dihantar ke hospital di Sukkur, manakala selebihnya diberikan rawatan kecemasan di stesen dan ditempatkan di Lahore.

“Sukkur yang berada di tengah-tengah antara wilayah Sindh, Balochistan dan Punjab mempunyai aliran trafik yang sangat tinggi ketika waktu puncak.

“Ribuan penumpang berdepan kelewatan waktu perjalanan berikutan kemalangan ini, tetapi kita tidak mempunyai pilihan, selain memindahkan gerabak satu demi satu,” katanya.

Berikutan kemalangan itu, Shahbaz berkata aliran trafik hanya menggunakan satu laluan, sekali gus menyumbang kepada kelewatan perjalanan membabitkan 10 hingga 15 perkhidmatan kereta api.

Katanya, laluan yang terjejas berikutan insiden itu hanya akan dapat dibaiki selepas semua tren yang berdepan kelewatan perjalanan, selamat tiba di destinasi masing-masing.

“Sementara itu, tiga daripada sembilan gerabak berjaya dikeluarkan dari gaung di lokasi kemalangan,” katanya.

Menteri Persekutuan Kereta Api, Muhammad Azam Khan Swati, memaklumkan pihaknya sudah menubuhkan dua pasukan untuk mengenal pasti punca kejadian.

Selain itu, katanya, tindakan keras akan diambil terhadap pemandu kereta api berkenaan sekiranya didapati cuai ketika menjalankan tugas. – AGENSI