Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Puasa adalah Hari Raya Fitrah, iaitu suatu hari bergembira sebagai tanda kesyukuran atas nikmat yang Allah SWT anugerahkan. Umat Islam seharusnya menyambut Aidilfitri ini sebagai sebuah kemenangan kerana berjaya melakukan amalan ibadat pada bulan Ramadan sebelumnya.
Oleh itu untuk mendapatkan kesempurnaan Hari Raya Aidilfitri ini, umat Islam disarankan untuk mengikuti perbuatan sunnah Rasulullah SAW dalam menyambut Aidilfitri, antaranya adalah seperti:
1. Mandi Sunat Hari Raya
Pada hari raya Adiilfitri, adalah sunnah untuk mandi dan membersihkan diri (niat mandi sunat Hari Raya Aidilfitri). Al-Imam al-Nawawi menyebut bahawa para ulama telah bersepakat atas hukum sunatnya mandi untuk solat hari raya.
Hukum sunatnya diqiyaskan dengan hukum sunat mandi Jumaat kerana hari raya adalah hari berhimpunnya manusia. Jadi waktu atau tempat yang berhimpunnya ramai manusia, maka disunatkan untuk mandi.
Selain itu, disunatkan juga mencukur bulu-bulu pada tubuh, memotong kuku, menghilangkan bau-bau yang tidak menyenangkan dari badan serta memakai wangian.
2. Berpakaian Cantik Di Hari Raya
Daripada Jabir bin Nufair ra berkata:
“Nabi saw mempunyai satu jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.”(Sahih Ibnu Khuzaimah
Pakaian yang disarankan adalah yang terbaik yang dimiliki, iaitu tidak semestinya baru, mahal dan berjenama. Pakaian yang paling afdal dan bagus adalah yang berwarna putih, iaitu warna yang disukai oleh Baginda Rasulullah SAW.
3. Makan Sebelum Keluar Menunaikan Solat
Terdapat sunnah dan adab berhari raya Aidilfitri, antaranya makan sedikit sebelum keluar menunaikan solat hari raya. Diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya:
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak keluar pada pagi hari Raya Aidilfitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar, dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.”
Jika tidak ada tamar sekalipun, makanlah makanan lain yang harus dimakan. Tindakan ini adalah untuk mengelakkan anggapan adanya tambahan berpuasa pada hari itu, dan juga sebagai (petunjuk) untuk bersegera mentaati perintah Allah SWT (untuk tidak berpuasa pada hari itu).
4. Keluar Dengan Berjalan Kaki Ke Tempat Solat
Daripada Ali bin Abi Talib ra berkata;
“Termasuk dalam sunnah, mendatangi (solat) hari raya dengan berjalan kaki.”(Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Maksudnya, Rasulullah SAW keluar ke tempat solat hari raya dengan berjalan dan baginda pulang darinya juga dengan berjalan. Namun bagi mereka yang uzur atau tinggal jauh dari masjid tidak ada apa-apa kesalahan untuk menaiki kenderaan.
5. Bertakbir Pada Hari Raya
Waktu bertakbir bagi Hari Raya Aidilfitri adalah bermula pada malam raya, iaitu setelah tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadan sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya Aidilfitri. Takbir hari raya adalah termasuk sunnah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”(Al-Baqarah: 185)
6. Pergi Dan Balik Dari Tempat Solat Melalui Jalan Berbeza
Daripada Jabir bin Abdillah ra katanya:
“Adalah Nabi SAW, pada hari raya baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).”(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Terdapat banyak hikmah dengan perbuatan ini, antaranya adalah untuk mengeratkan silaturahim dengan menemui lebih ramai orang yang berbeza dan baru dikenali. Selain itu untuk mengambil tahu akan keperluan golongan yang memerlukan apa-apa bantuan selain dapat menziarahi sanak saudara atau kejiranan.
7. Solat Sunat Hari Raya
Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat hari raya. Sebahagian mengatakan hukumnya sunat muakkad, terdapat yang lain mengatakannya fardhu kifayah dan sebahagian yang lain mengatakan hukumnya adalah fardhu ain (wajib).
Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah, ditunaikan dengan dua rakaat. Sunnah juga mengangkat tangan ketika takbir dan dilakukan terlebih dahulu sebelum diikuti khutbah.
Sebaiknya, solat hari raya tidak disegerakan bagi memberi peluang kepada umat Islam mengeluarkan zakat fitrah pada waktu yang paling afdal itu, dan sebaiknya solat tersebut tidak dipanjangkan. Disunatkan juga menghadirkan anak-anak yang sudah mumayyiz untuk solat sunat sunat hari raya itu.
8. Mengucapkan Ucapan Pada Hari Raya
Sampaikanlah ucapan tahniah sesama muslim, ataupun sebarang ucapan yang baik seperti ucapan ‘Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan anda semua’ dan ‘hari raya yang diberkati’. Jubair bin Nufair ra berkata:
“Para sahabat Nabi SAW apabila mereka bertemu sesama mereka pada hari raya mereka mengucapkan ‘Semoga Allah menerima amalan kami dan kamu’.”
9. Wanita Sunat Menyaksikan Solat Hari Raya
Para wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk dalam sunnah Rasulullah SAW. Dari Umm Atiyyah r.anha katanya:
“Kami disuruh oleh Nabi SAW untuk mengeluarkan mereka (semua wanita) pada hari raya Aidilfitri dan Aidildha; wanita yang baru baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun wanita haid diasingkan daripada tempat sembahyang.”
10. Zakat Fitrah
Rasulullah SAW menyeru umat Baginda untuk membayar zakat Aidilfitri sebelum solat sunat hari raya. Harus mengeluarkannya sehari atau dua hari lebih awal, berdasarkan hadis Ibnu Umar ra, yang diriwayatkan oleh al-Bukhari:
“Adalah mereka (sahabat Nabi SAW) mengeluarkan (zakat al-Fitr) sebelum hari raya sehari atau dua hari.”
Namun sesiapa yang menunaikan zakat fitrah selepas solat hari raya, ianya tidak dikira sebagai zakat fitrah sebaliknya dianggap sebagai sedekah.
Sambutan hari raya yang terbaik dan sangat wajar dijadikan panduan adalah dengan mengikuti sunnah Rasulullah SAW. Aidilfitri juga bukanlah masanya untuk kita membuat sambutan dengan penuh kemeriahan dan secara besar-besaran dengan melakukan pembaziran.
Tetapi hari raya Aidilfitri sebaiknya disambut dengan penuh kesyukuran dan gembira kerana kemenangan di bulan Ramadan yang lalu. Ini juga tak bererti segala amalan ibadah di bulan Ramadan ditinggalkan, sebaikanya diteruskan sebagai ibadat seharian kita. Semoga segala amalan dan perbuatan kita dinilai baik oleh Allah SWT.
Sumber: TZKRH.COM