10 Jam Shah Alam-Gua Musang, Kuala Lipis Sesak Teruk

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GUA MUSANG – Jalan Kuala Lipis-Gua Musang yang menjadi laluan utama menuju Kelantan dari ibu negara dan Pahang sesak dengan kenderaan perantau yang semakin ramai bergerak pulang sempena Aidiladha.

Selain Jalan Kuala Lipis-Gua Musang, tinjauan mendapati Jalan Gua Musang-Kuala Krai turut sesak dengan ada dalam kalangan pengguna jalan raya mendakwa terkandas dalam kesesakan disebabkan pertambahan mendadak jumlah kereta sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata mengakui bilangan kenderaan di jalan raya mula bertambah sejak semalam dan hari ini ia semakin ketara dengan trafik mulai perlahan di beberapa lokasi.

Di pekan Gua Musang sendiri, katanya kesesakan berlaku di persimpangan lampu isyarat berhadapan KFC menuju Kuala Krai.

Pengguna jalan raya, Mohd Haikal Asri, 35, mengakui kesesakan sangat teruk berlaku di Kuala Lipis dan susur keluar dari Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dari Kuala Lipis ke Gua Musang.

Katanya, dia bertolak dari Shah Alam jam 9 malam dan hanya sampai ke Gua Musang kira-kira jam 6.30 pagi.

“Hampir 10 jam perjalanan dari Shah Alam ke Gua Musang. Jalan sesak di beberapa tempat terutamanya di bandar Raub dan Kuala Lipis.

“Keadaan jalan susur memasuki Gua Musang juga sesak teruk sehinggakan ada ketikanya tidak bergerak langsung.

“Apabila sampai di Gua Musang kenderaan tidak putus-putus dan perlahan di kawasan lampu isyarat berhampiran masjid dan di hadapan KFC (menuju bandar Gua Musang),” katanya yang singgah di rumah saudara terdekat di daerah ini sebelum bertolak pulang ke Kuala Krai.

Menurutnya, pembukaan laluan Kuala Lipis-Gua Musang iaitu bermula lampu isyarat Taman Wangi sehingga ke Petronas Persiaran Raya yang ditutup sebelum ini sangat membantu, sekali gus mengurangkan risiko kesesakan lalu lintas di dalam Bandar Gua Musang.

Sementara itu, aliran trafik mulai perlahan di beberapa laluan di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berikutan pertambahan kenderaan susulan orang ramai pulang ke kampung halaman bagi sambutan Aidiladha.

Tinjauan menerusi akaun rasmi Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sehingga jam 12 tengah hari tadi mendapati beberapa laluan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Utara-Selatan mulai perlahan.

Trafik perlahan dilaporkan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak membabitkan laluan dari selepas Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah; Bukit Tinggi ke Bentong dan Gombak ke Lentang.

Sementara itu, aliran trafik perlahan dilaporkan di beberapa laluan di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dari Juru Auto City ke Kawasan Perusahaan Perai; Bukit Tambun ke Plaza Tol Juru; Padang Rengas ke kawasan rehat dan rawat (R&R) Bukit Gantang; Terowong Menora ke R&R Sungai Perak; Ipoh ke Jelapang; Gopeng ke Simpang Pulai dan Tapah ke Gopeng.

Beberapa kemalangan dilaporkan termasuk di Kilometer (KM) 152.3 arah utara dari Bandar Cassia ke Bukit Tambun Utara menyebabkan trafik perlahan, namun tiada lorong terhalang.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMtrafik.

– BERITA HARIAN