10 Sekolah Ditutup, Tapak Pelupusan Sampah Terbakar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

NIBONG TEBAL: Sebanyak 10 sekolah yang berdekatan dengan Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, di sini ditutup selama tiga hari bermula esok hingga Jumaat ini.

Sekolah terbabit adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Teik; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, SJKT Nibong Tebal; Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa; SK Keledang Jaya; SJKT Ladang Changkat; SMK Methodist, SK Methodist dan SK Nibong Tebal.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu notis yang dikeluarkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Selatan.

Ia selepas mesyuarat bencana daerah semalam memaklumkan bahawa Indeks Udara di kawasan sekolah yang terletak dalam lingkungan radius 10 kilometer (km) dari tapak pelupusan sampah berada pada tahap kepekatan udara yang memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam nyawa penduduk.

Menurut notis berkenaan, pihak sekolah terbabit diminta memaklumkan penutupan operasi sekolah kepada pengusaha kantin, bas dan pihak-pihak lain yang berkaitan untuk tindakan persediaan awal.

Dalam pada itu, pihak PPD juga akan memaklumkan selewat-lewatnya pada Sabtu ini mengenai status pengoperasian semula sekolah berdasarkan keputusan dan nasihat dari Jawatankuasa Bencana Daerah.

Notis itu turut memaklumkan sepanjang tempoh penutupan sekolah, murid akan melaksanakan Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Terdahulu, tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.19 hektar dilaporkan terbakar dalam kejadian jam 4.43 petang, Rabu lalu dan masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya hingga hari ini.

Anggaran keluasan yang terbabit dengan kebakaran adalah 6.5 hektar dan tindakan awal sudah diambil oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dengan membuat ‘fire break’ bagi mengelak api terus merebak.

Susulan daripada kebakaran itu, JAS Pulau Pinang melakukan pemantauan kualiti udara dan mengesan kandungan gas yang boleh memberi risiko kesihatan.

Dua pusat penempatan sementara (PPS) di SK Saujana Indah dan SK Bakap Indah kemudian dibuka bagi memindahkan penduduk Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru dekat situ sehingga keadaan pulih.

Sumber: Berita Harian