HULU TERENGGANU: Pengalaman 10 tahun berniaga makanan di perkampungan Orang Asli Sungai Berua di sini membolehkan seorang wanita tempatan fasih bertutur dalam bahasa suku kaum Semaq Beri.
Siti Rohana Mat Rahim, 36, dari Kampung Tapah berkata, dia mengambil masa hampir lima tahun untuk menguasai bahasa itu yang sekali gus memberinya banyak kelebihan dalam membina hubungan baik dengan komuniti berkenaan.
Katanya, sebagaimana Orang Asli yang lain, masyarakat di Sungai Berua juga sukar mesra dengan individu tidak dikenali dan dia terpaksa berkunjung ke sana hampir setiap hari selama beberapa bulan untuk mendekatkan diri dengan penduduk.
“Pada mulanya memang susah untuk memahami dan bercakap dalam bahasa mereka, tetapi saya cuba belajar perlahan-lahan termasuk sering berbual dengan kanak-kanak yang datang membeli makanan ringan.
” Hari pertama berniaga, jualan cuma RM 50 kerana masih ramai yang takut datang ke gerai saya dan walaupun mereka boleh bertutur dalam Bahasa Melayu tetapi enggan bercakap dengan orang sembarangan,” katanya ketika ditemui di gerainya baru-baru ini.
Siti Rohana berkata, kebolehan berkomunikasi dalam bahasa Semaq Beri secara tidak langsung membolehkan jualan di gerainya kini mencecah ratusan ringgit.
Katanya, antara barangan yang dijual di gerai yang beroperasi hingga petang itu termasuk menu sarapan pagi seperti nasi minyak dan nasi lemak di samping minuman serta pelbagai makanan ringan lain.
“Menarik tentang komuniti Orang Asli ini ialah sikap tolong-menolong mereka dan hubungan kekeluargaan yang akrab,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia