SUBANG JAYA: Sepuluh individu termasuk lapan kanak-kanak maut dalam kemalangan membabitkan treler yang merempuh tiga kereta berhenti di lorong kecemasan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, malam tadi.
Sembilan daripada mangsa itu adalah satu keluarga iaitu seorang wanita dan lapan anaknya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata kemalangan membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler.
Beliau berkata, sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dan BBP Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan jam 11.42 malam untuk operasi menyelamat.
“Nahas membabitkan 17 mangsa yang mana 10 daripadanya disahkan meninggal dunia.
“Mangsa yang maut adalah seorang lelaki dan seorang wanita manakala lapan lagi membabitkan lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi bomba mengeluarkan mangsa dengan menggunakan alatan khas.
“Sebuah kren digunakan untuk mengangkat treler terbabit. Semua mangsa dapat dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis. Bagaimanapun, 10 mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya sambil menambah operasi tamat pada jam 2.40 pagi.
Sementara itu, polis sudah mengenal pasti 10 individu maut dalam kejadian itu. Sembilan daripada yang maut di tempat kejadian adalah seorang ibu dan lapan anaknya.
Mangsa yang meninggal dunia adalah Norul Naziah Buyong, 37, dan lapan anaknya berusia antara 10 bulan hingga 16 tahun dilaporkan menaiki Proton Wira dipandu suaminya Abdul Razak Majit, 50, yang cedera ringan.
Lapan anak Abdul Razak yang maut dalam kemalangan itu adalah Muhamad Raid Fathi, 10 bulan, Puteri Nur Ain Syalwana, 3, Muhamad Hidayat Hakimie, 7, Muhamad Rolkaizat Rezky, 9, Muhamad Aizat Shazwan, 10, Razatul Aliah, 16 dan Muhamad Razarul Amin, 17.
Seorang lagi mangsa yang maut adalah seorang mekanik, Muhamad Rahimi Rolex, 27, yang mana ketika kejadian memandu kereta jenis Proton Wira, datang untuk membantu menghidupkan bateri kereta dipandu Abdul Razak.
Selain dua kereta Proton Wira, sebuah lagi kereta jenis Perodua Axia turut berada di lokasi kejadian juga untuk membantu kereta dipandu Abdul Razak.
Jurucakap Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, berkata semasa kejadian keadaan permukaan jalan lebuh raya tiga lorong sehala menghala ke Shah Alam licin akibat hujan lebat.
“Sebuah lori yang datang dari arah belakang secara tiba-tiba gagal dikawal dan merempuh tiga kereta berkenaan yang sedang berhenti di lorong kecemasan.
“Pada masa sama lori berkenaan menyeret kereta Abdul Razak ke kanan lebuh raya sehingga menyebabkan sembilan ahli keluarganya dan Muhamad Rahimi maut ditempat kejadian,” katanya.
Seorang mangsa yang cedera parah serta dua cedera ringan dihantar ke Hospital Shah Alam, untuk rawatan.
Setakat ini pihak polis sedang menahan pemandu treler terbabit untuk siasatan lanjut. Individu yang menaiki treler tidak cedera dikenali Mohd Khairol Kamal Abdullah, 45; serta dua anaknya Haiqal Haziq, 19; dan Hafiey Hamziey, 14.
Hasil ujian air kencing dan ujian pengambilan alkohol juga mendapati pemandu lori terbabit bebas dari dadah dan alkohol.
Sumber: Berita Harian