100 Acara Unik Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu Bakal Menanti Tahun Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: 100 acara pelancongan dan kebudayaan negeri Terengganu disenarai dalam Kalendar Acara Tahunan 2023 (COE2023) bagi melihat keunikan yang ada di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata jumlah itu melibatkan 17 acara ikonik dan 83 acara lain disusun untuk menggalak serta merancakkan lagi sektor pelancongan negeri.

“Sebenarnya masih ada yang datang kepada kita untuk masukkan lagi acara-acara lain dan tujuan majlis pada hari ini adalah untuk kita tonjolkan 100 acara ini.

“Tapi akan ada lagi acara-acara lain yang kita akan maklumkan melalui facebook, twitter dan tiktok dari semasa ke semasa.

“Tujuan Calendar of Event (COE) ini adalah untuk kita selaraskan acara-acara ini supaya tidak bertembung tarikhnya dan 17 acara ikonik tu sebenarnya acara lama yang kita tingkatkan dan kita tonjolkan bersama 83 acara pelancongan dan kebudayaan yang lain,” katanya selepas ditemu bual di Majlis Pelancaran Kalendar 2023 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu bertempat di Hotel Paya Bunga, hari ini.

“Antara acara ikonik yang sentiasa mendapat sambutan ialah Terengganu Air Festival, Karnival Beautiful Terengganu, Kenyir Casting Tournament dan banyak lagi yang bertaraf nasional dan antarabangsa,” katanya.

Tambahnya lagi, sebagai membuka tirai 2023, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) akan menganjurkan Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (BTM) yang akan diadakan di Padang Astaka Kemaman mulai 23 hingga 26 Februari depan.

Dalam pada itu, seramai 43 penerima agen promosi pengayuh beca dan pemandu bot penambang bagi tahun 2023 menerima insentif sebanyak RM1,200 untuk setiap individu yang layak dengan jumlah keseluruhan RM51,600.

Manakala RM10,750 turut diperuntukkan untuk penambaikan wajah baharu beca dan bot penambang dengan elemen lebih moden dan pelbagai paparan mengenai produk pelancongan.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM