KUALA TERENGGANU- Seramai 100 anggota serta Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di negeri ini dijangkiti Covid-19 sejak Mac 2020.
Pengarah JBPM, Md.Hilman Abd.Rashid berkata daripada jumlah berkenaan seramai 12 kakitangan masih dalam proses pemulihan dan menjalani kuarantin di rumah.
Jelasnya, kesemua mereka dikategorikan sebagai pesakit tahap satu dan dua.
“Setakat ini tiada kematian direkodkan dan secara keseluruhan seramai 405 petugas kita diarahkan menjalani kuarantin sejak pandemik Covid-19 melanda,” katanya sebagaimana dilaporkan Utusan Malaysia.
Dalam perkembangan berbeza, Md Hilman berkata sejumlah 700 anggota dan pegawai JBPM Terengganu telah menerima dos penggalak sebagai persediaan mereka untuk bertugas bagi menghadapi Monsun Timur Laut.
Sumber: TRDI News