100 Unit Rumah Rakyat Pahang Khas Untuk Masyarakat Orang Asli

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LIPIS – Kerajaan Pahang memperuntukkan sejumlah RM7.5 juta bagi pembinaan 100 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang disediakan khas buat masyarakat Orang Asli di seluruh Pahang bermula tahun hadapan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek RRP sebelum ini diberikan kepada setiap kawasan Parlimen dan Dewan Negeri tetapi kini diperluaskan kepada masyarakat Orang Asli supaya mereka juga dapat menikmati pemberian rumah percuma oleh Kerajaan Pahang.

“Kita bagi rumah percuma rakyat Pahang sebanyak 100 biji yang saya bentangkan di dalam bajet baru-baru ini bernilai RM75,000 utk Orang Asli, itu pun telah diluluskan dan kita bagi agihan ikut keperluan dan bersasar seluruh Pahang.

“Itu adalah Rumah Rakyat Pahang yang sebelum ini kita bagi kepada ADUN, yang sekarang ini ADUN dapat lapan biji, kita kembangkan kepada masyarakat Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Ramah Mesra YAB Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang Bersama-sama Pengundi Orang Asli Pos Betau di Dewan Orang Ramai RPS Betau di Lipis.

Hadir sama pada majlis itu ialah Calon Ahli Parlimen Cameron Highlands, YH. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Nor dan calon Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanah Rata, Encik Wong Yap Wah.

Sebelum itu, beliau yang juga Pengerusi BN Negeri Pahang, sempat beramah mesra bersama-sama Jentera Pilihan Raya PDM Ringlet di Cameron Highlands.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan sekolah K11 (Sekolah Model Khas Komprehensif 11) daripada sekolah K9 (Sekolah Model Khas Komprehensif) di mana para pelajar Orang Asli dapat mengikuti pendidikan selama 11 tahun iaitu enam tahun di peringkat rendah manakala lima tahun di peringkat menengah.

Menurutnya, hal ini dapat memudahkan masyarakat Orang Asli di Kawasan Dewan Negeri Jelai kerana mereka dapat menamatkan persekolahan di sekolah sama tanpa perlu bertukar sekolah ke lokasi yang jauh di Sungai Koyan atau pun Lipis.

Beliau juga yakin akan mendapat sokongan penuh daripada masyrakat Orang Asli apabila kesemua berjanji untuk terus menyokong Kerajaan Pahang yang diterajui BN dan Kerajaan Malaysia yang dipimpin YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

“Mereka berjanji dengan saya bahawa mereka akan terus menyokong Kerajaan Pahang yang diterajui oleh Barisan Nasional dan juga Kerajaan Malaysia pimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, orang Pahang, diorang nak orang Pahang, jadi mereka akan terus sokong sepertimana biasa,” katanya.

 Sumber :  PAHANGMEDIA