1,000 Ayam RM10 Seekor ‘Licin’ Tak Sampai Sejam

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Program jualan Pasar Berkat yang berlangsung di Padang Hiliran di sini pada Rabu mendapat sambutan memberangsangkan apabila 1,000 ekor ayam berharga RM10 setiap seekor habis dijual dalam tempoh tidak sampai satu jam.

Pengerusi Persatuan Pekerja dan Pengguna Kuala Terengganu (Peka), Muhammad Khairi Che Ali berkata, program dianjurkan dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar itu turut menawarkan barangan mentah lain pada harga rendah berbanding pasaran biasa.

“Kita ada lebih satu tan ikan pelbagai jenis antaranya anak ikan kembung dan anak ikan selar dijual dengan harga hanya RM2 setiap sekilogram.

“Selain itu, barangan mentah lain seperti daging pula dijual pada harga murah iaitu RM25 serta pelbagai jenis sayur-sayuran dengan harga RM1 seikat,” katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu.

Menurut Muhammad Khairi, program dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN sekitar bandar Kuala Terengganu itu telah memasuki kali keenam.

“Kita bersyukur kerana program ini menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung sekali gus membantu kita mencapai sasaran untuk menyediakan harga barangan murah kepada golongan kurang mampu,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Noor Aieni Majid, 48 berkata, dia sempat membeli dua ekor ayam dan tiga kilogram daging sebagai stok barangan basah di rumahnya.

“Pengguna perlu bertindak bijak dengan memilih tempat yang menawarkan harga jimat memandangkan kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

“Saya berpuas hati kerana barangan mentah yang dijual di sini berkualiti, segar dan harga yang ditawarkan sangat berpatutan,” katanya.

Seorang kakitangan swasta, Ramlah Mohd Noor, 52, pula berkata, dia datang ke pasar itu bersama dua jiran untuk membeli ikan yang akan digunakan untul membuat kuah laksa di gerainya.

“Saya tengok iklan Pasar Berkat di Facebook dan datang ke sini untuk memborong pelbagai jenis ikan terutama ikan selayang.

“Stok yang dibeli cukup untuk jualan selama tujuh hari dan saya berharap program ini akan diadakan lebih meluas di tempat lain pada setiap minggu,” katanya.

– SINAR HARIAN