10,000 Kg Beras Habis Diagihkan Dalam 15 Minit

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GUA MUSANG: Hanya 15 minit, sebanyak 10,000 kilogram (kg) beras dan 1,000 kg minyak masak diagihkan kepada 1,000 asnaf di daerah ini pada program di perkarangan Masjid Tengku Muhammad Fa-Iz Petra di Bandar Baru di sini, semalam.

Agihan beras, minyak masak dan timun kepada golongan asnaf itu adalah sumbangan penderma melalui Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang (Peka GM).

Menurut Pengerusi Peka GM, Mohd Syahbuddin Hashim, setiap penerima mendapat 10 kg beras, satu kg minyak masak dan satu kg timun hasil sumbangan penderma di seluruh negeri ini.

Katanya, sumbangan itu berjaya dikumpul sejak sebulan lalu selepas melakukan hebahan di media sosial.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang yang sudi berkongsi rezeki dengan golongan asnaf di sini. Penyumbang ini adalah dari seluruh negeri ini termasuk pemimpin parti politik.

“Selain beras, kita juga mengedar 1,000 paket minyak masak dan juga timun hasil sumbangan pekebun di daerah ini,” katanya kepada pemberita di perkarangan Masjid Tengku Muhammad Fa-Iz Petra di Bandar Baru di sini.

Mohd Syahbuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas berkata, penerima agihan 1,000 kampit beras terdiri daripada warga asnaf, mualaf dan fakir miskin yang dipilih oleh pemimpin-pemimpin tempatan.

Seorang penerima, Nurul Nazihah Mohamed, 37, berkata, sumbangan itu tepat pada masanya kerana dapat membantu meringankan sedikit sebanyak kos sara hidup keluarganya.

“Alhamdulillah, kebetulan pula dapat sumbangan ini pada bulan Ramadan, jadi sedikit sebanyak dapat membantu meringankan perbelanjaan keluarga kami, dengan 10 kg beras ini dapat bertahan dua minggu untuk saya dan empat anak.

“Terima kasih kepada penderma yang sudi berkongsi rezeki dengan kami,” katanya yang juga ibu tunggal kepada empat anak.

Sumber: METRO