1,069 Terima Sumbangan PKPP Berjumlah RM765,100

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LIPIS: Seramai 1,069 penerima terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli, anak yatim, ibu tunggal, pesakit kronik, golongan tidak berkemampuan dan penduduk terjejas telah menerima sumbangan RM765,100.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang juga merupakan Pengerusi PKPP berkata, sumbangan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) itu merupakan antara program kebajikan dan khidmat masyarakat bertujuan meningkatkan taraf sosial setempat selain membuka peluang ekonomi kepada penduduk.

“PKPP juga tidak terlepas untuk melakukan program-program kebajikan dan khidmat masyarakat diluar sana bagi meningkatkan taraf sosial setempat selain membuka peluang ekonomi kepada penduduk.

“Justeru, saya telah menyampaikan sumbangan dalam Program Kebajikan PKPP Prihatin bagi kawasan Dewan Negeri (DN) Jelai kepada 1,069 penerima yang terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli (OA), anak-anak yatim, ibu tunggal, pesakit kronik, orang miskin dan mereka yang terjejas yang berjumlah secara keseluruhan RM765,100,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, selepas menyampaikan sumbangan berkenaan di Laman Sejahtera Sungai Koyan, di Lipis, hari ini.

Jelasnya, PKPP menerusi peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) juga sedang melakukan projek-projek bagi penggantian paip lama di Kuala Medang, 4 unit kedai PKPP di Sungai Ular, projek membina pagar perimeter Masjid Jamek Kuala Medang, pembinaan jalan-jalan pertanian dan ladang.

Pada majlis sama, turut disampaikan sumbangan 30 unit kerusi roda dan 10 katil kepada Pejabat Kesihatan Daerah Lipis dan dua buah van jenazah kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Tanjung Gahai dan JPKK Beletik.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PKPP juga mengorak langkah dalam meneroka peluang dalam mendepani cabaran dalam usaha meningkatkan pulangan ekonomi kepada Negeri Pahang.

Jelasnya, penerokaan peluang bagi meningkatkan ekonomi bertujuan membantu masyarakat supaya dapat meningkatkan taraf sosial dan ekonomi setempat.

“Sejak saya menjadi Pengerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) pada tiga tahun lepas, banyak perubahan PKPP sudah lakukan dan mengorak langkah meneroka peluang bagi menyahut cabaran semasa bagi meningkatkan pulangan ekonomi kepada Negeri Pahang,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA