11 Korban Sepanjang Ops Selamat 18 Di Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Kelantan merekodkan 11 kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang tempoh lima hari Op Selamat 18 dilancarkan bermula Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, semua 11 kematian itu direkodkan melalui 10 kemalangan maut yang dilaporkan seluruh negeri.

Mengulas angka korban itu, katanya, lima kematian direkodkan pada hari pertama Op Selamat 18 iaitu masing-masing dua di Bachok dan Jeli, serta satu di Kota Bharu.

“Pada hari ketiga Op Selamat 18 pula, tiga lagi kematian iaitu dua di Gua Musang dan satu di Bachok direkodkan, disusuli tiga lagi kematian pada hari keempat semalam iaitu masing-masing satu di Pasir Mas, Tanah Merah dan Gua Musang.

“Kebanyakan kes kemalangan disebabkan pemandu hilang kawalan dan gagal memotong,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, polis Kelantan memberi tumpuan kepada 16 lokasi kerap terbabit kemalangan pada Op Selamat 18 yang dijalankan sempena Aidilfitri bermula 30 April lalu.

Lokasi berkenaan turut membabitkan kawasan berlaku kemalangan maut terutamanya di laluan utama keluar masuk kenderaan ke negeri ini.

Antara laluan berkenaan adalah Kilometer (KM) 59 hingga KM62 Jalan Gua Musang-Kuala Krai (Sungai Bayu); KM52-KM59 Jalan Gua Musang-Lojing; Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh (Kubang Kerian-Melor), Jalan Kota Bharu-Pengkalan Chepa (Jalan Tok Guru); Jalan Salor Baru-Pasir Mas; Jalan Binjai-Bachok; serta masing-masing dua jalan di Machang dan Pasir Mas, serta satu jalan masing-masing di daerah Kuala Krai, Tumpat, Tanah Merah, Jeli, Bachok dan Pasir Puteh.

Sumber: BERITA HARIAN