11 Menara Baharu Dan 88 Stesen Pemancar Dinaiktaraf Di Maran

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARAN, 29 SEPTEMBER 2021: Penduduk di Daerah Maran mendapat peruntukan sebanyak 11 menara baharu termasuk 88 stesen pemancar yang akan dinaiktaraf bagi memastikan perkhidmatan internet di daerah tersebut akan terus bertambah baik.

Kesemua pelaksanaan usaha ini dirancang di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilaksanakan secara bersama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan Kerajaan Negeri Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, beliau akan memastikan pelaksanaan JENDELA di Negeri Pahang termasuk di Daerah Maran ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin dan berjalan lancar serta siap pada masa yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

“Saya telah dimaklumkan oleh Pengarah SKMM Pahang, Tuan Haji Mohd Faisal Md Nor yang turut melaporkan perkara sama dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Tindakan Daerah Maran baru-baru ini, dimana sehingga kini satu menara yang terletak di Kampung Embun telahpun siap dan beroperasi sejak Jun 2021 lalu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 17 stesen pemancar juga sedang dan telah siap dinaiktaraf melibatkan beberapa kampung seperti di kawasan Felda Jengka, Felda Kampung New Zealand, Kampung Lubuk Paku dan Taman Shahbandar .

Pelaksanaan baki 10 menara dan 71 stesen pemancar lagi sedang dilaksanakan berperingkat dan ianya dijangka siap sepenuhnya apabila Fasa 1 pelan JENDELA siap pada penghujung tahun 2022.

Selain daripada perkhidmatan internet tanpa wayar, pada masa yang sama projek menaiktaraf internet talian tetap juga sedang dilaksanakan dimana sebanyak 6,633 premis di Maran akan dilengkapkan dengan rangkaian gentian optik bagi membolehkan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi diberikan.

Katanya, penduduk di Daerah Maran dijangka akan dapat menikmati perkhidmatan internet jalur lebar lebih baik apabila pelaksanaan semua inisiatif Fasa 1 pelan JENDELA ini siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2022 nanti.

Sumber: PAHANGMEDIA