Kota Bharu: Kerajaan negeri Kelantan membenarkan 11 sektor ekonomi untuk kembali beroperasi yang berkuat kuasa serta-merta.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, pembukaan 11 sektor itu diharap dapat melegakan peniaga yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
Katanya, Kelantan bersetuju untuk menerima pakai prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membenarkan 11 sektor itu beroperasi.
“Kebenaran pembukaan aktiviti ekonomi itu adalah kedai cuci kereta; kedai elektrik dan elektronik; kedai barangan rumah dan peralatan dapur; kedai perabot; kedai peralatan sukan; kedai aksesori kereta; pusat pengedaran dan jualan kereta; pasar pagi dan pasar tani; kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas; kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan bagi perkhidmatan gunting rambut asas.
“Selain itu, kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas; serta kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut Dr Izani berkata, aktiviti lain adalah kedai permaidani; kedai alat permainan; kedai kandungan kreatif dan peralatan industri kreatif; kedai peralatan ‘outdoor’ termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain; kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi serta kedai tembakau termasuk vape dan rokok elektronik.
Beliau berkata, semua syarikat di bawah sektor perdagangan pengedaran yang dibenarkan beroperasi semula tidak perlu mengemukakan maklumat pekerja yang mendapat vaksin lengkap.
“Semua pemilik premis perniagaan perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 bagi membuktikan mereka menerima vaksinasi lengkap.
“Kerajaan negeri berharap semua pemilik premis dan semua masyarakat mematuhi SOP yang ditetapkan MKN,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan semua subsektor perdagangan dan pengedaran di negeri Fasa Dua PPN dibenarkan beroperasi semula walaupun belum mencapai tahap imunisasi lengkap 50 peratus populasi dewasa.
Sumber: My Metro