113 Tangki Statik Air Bersih Disedia Di Buluh Gading

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS, 25 Ogos – Sebanyak 113 tangki statik air bersih disediakan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading bagi mengelakkan penduduk di kawasan terbabit terputus bekalan air 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, tindakan semasa tersebut dilakukan pihaknya dalam menghadapi ketiadaan air kerana kerosakan paip sejak 23 Ogos, baru-baru ini.

“Tangki yang sediakan kadang-kadang jaraknya terlalu jauh dengan rumah penduduk, susulan itu kita tambah lagi jumlahnya supaya ia memudahkan urusan rakyat yang ingin mengambil bekalan asas ini.

“Dengan cara itu, tidaklah terlalu membebankan penduduk ketika ini,” ulas beliau ketika meninjau proses perbekalan air dengan kerjasama BOMBA di hadapan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading.

Beliau juga memaklumkan, tambahan tangki juga dibuat di tempat-tempat pengambilan sumber air agar tempoh masa mengisi air ke dalam lori transit tidak memakan masa terlalu lama.

“Buat masa sekarang, tenaga sepenuh masa agak berkurangan kerana masing-masing bekerja.

“Semasa krisis yang dulu, kawasan kita dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD), jadi tenaga kerja agak ramai kerana masing-masing tidak bekerja,” ujar beliau lagi.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) juga mengambil inisiatif membantu mengangkut air ke kampung masing-masing untuk diagihkan kepada pemduduk yang dikenakan perintah kuarantin, warga emas yang ketiadaan anak di rumah dan juga pesakit kronik.

“Sebanyak 19 JPKK yang terlibat dalam krisis air pada kali ini,” katanya lagi.

Sumber: TRDI News