KUANTAN : Seramai 1,199 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang telah bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka melanda negeri ini pada penghujung setiap tahun.
Pengarah APM Pahang, Kol. (PA) Che Adam A. Rahman berkata, sehingga kini pegawai dan anggotanya telah bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan dilanda bencana banjir pada awal bulan November nanti.
Bagaimanapun katanya, kelengkapan logistik masih lagi belum mencukupi dan pihaknya telah memohon pernambahan peralatan berkaitan bagi memastikan bantuan keselamatan dapat dijalankan dengan baik.
“Setakat ini logistik belum mencukupi dan kita masih memohon lagi tambahan logistik dari ibu pejabat Pertahanan Awam dan JPM,” katanya pada sidang media selepas Program Retreat Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022 Peringkat APM Pahang di Pusat Latihan APM Negeri Pahang, di Kuantan, hari ini.
Pada latihan itu, seramai 75 pegawai dan anggota APM terlibat dan dikehendaki mengikuti simulasi di empat stesen iaitu pengendalian enjin bot dan peralatan operasi, cara pengurusan collapsible tent di pusat pemindahan banjir, proses pemakaian PPE yang betul dan menggalakkan anggota menjalankan tugas di dalam norma baharu.
Pada majlis sama, turut disampaikan sijil penghargaan kepada anggota APM dan rakan-rakan media serta penyampaian sumbangan 200 pek bekalan makanan kepada anggota APM yang bertugas di lapangan.
Menurut Kol. (PA) Che Adam, sehingga kini APM mempunyai sebanyak 74 kenderaan air meliputi bot aluminium, bot fiber dan tempur manakala kenderaan darat pula sebanyak 36 buah iaitu kereta, lori, bas, ambulans dan 4×4.
Beliau turut meminta agar anggota APM di daerah lain turut mengadakan simulasi dengan berkolaborasi bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.
Sumber: PAHANGMEDIA