12 Cara Ajar Anak Supaya Rajin Solat Tanpa Paksaan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Anak-anak selayaknya sudah boleh diajar solat seawal umur dua atau tiga tahun. Untuk mengajarkan anak kecil untuk solat memang agak mencabar. Namun mendidik anak kecil untuk menunaikan solat bukanlah satu proses yang sukar jika kita menggunakan  kaedah yang betul. Malah mereka akan tertunggu-tunggu untuk solat dengan anda.

12 Cara Ajar Anak Supaya Rajin Solat

1. Selalu Solat Depan Anak

Ibu bapa boleh melakukan solat di tempat yang dapat dilihat oleh anak. Contohnya seperti di ruang tamu. Selalunya anak-anak kecil akan meniru gaya ibu bapa mereka solat. Itu adalah petanda mereka berminat dan rasa ingin tahu mengenai solat. 

2. Ajak Anak Solat, Bukan Suruh

Ibu bapa perlu mengajak anak anda solat berjemaah bersama-sama anda dan bukannya menyuruhnya solat bersendirian. Walaupun anak baru berusia 2 atau 3 tahun, ajaklah mereka supaya solat di sebelah kita.

Lakukan secara konsisten setiap masa untuk mengajak anak pada awal waktu solat. Ini membolehkan mereka bersedia setiap kali masuk waktu solat.

3. Minta Laungkan Iqamah 

Minta anak untuk melaungkan iqamah setiap kali solat berjemaah. Mungkin pada awalnya mereka berasa malu, namun bimbinglah mereka untuk melaungkan iqamah dengan betul.

4. Dengarkan Bacaan Dalam Solat Dengan Jelas

Kuatkan bacaan anda dalam solat supaya anak-anak boleh dengar. Ia akan membuatkan anak anda boleh mengingati surah-surah lazim yang sering kita bacakan. 

5. Bersalaman Dan Peluk Anak Selepas Solat

Setiap kali selesai melakukan solat, bersalamanlah dengan anak-anak diikuti dengan pelukan dan ciuman. Ia bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah dapat memberi persepsi positif kepada anak-anak bahawa solat adalah salah satu aktiviti untuk berkasih sayang. 

6. Beri Pujian Untuk Setiap Perkara Positif

Berikan mereka pujian jika anak-anak menunjukkan kelakuan yang baik seperti tekun dan tidak bermain-main semasa solat. Ini akan membuatkan anak-anak akan sentiasa gembira dan semakin tekun untuk solat.

7. Ajar Wuduk Langkah Demi Langkah

Cara mendidik anak-anak solat adalah bermula dari wuduk. Jika wuduk sempurna, maka solat juga akan sempurna. Ajarkan anak anda mengambil wuduk yang sempurna. Bimbing secara tersusun.

Tampalkan poster wuduk bergambar dalam bilik mereka. Perhatikan anak-anak mengambil wuduk dan tegur secara terus jika mereka melakukan kesalahan.

8. Tazkirah Santai Selepas Solat

Selepas solat, ambil sedikit masa untuk memberi tazkirah kepada anak-anak. Tidak perlu terlalu formal. Cukup dengan gaya bersahaja dan menyentuh perkara-perkara asas seperti rukun solat, soal jawab bacaan surah lazim, kisah nabi-nabi dan isu-isu semasa. 

9. Sentiasa Dekatkan Anak Dengan Azan

Ajarkan anak untuk menghormati azan. Apabila mendengar azan dilaungkan, berhenti bercakap dan beritahu ana supaya diam. Sebutkan cara menjawab azan dengan jelas supaya anak-anak boleh mendengar. Selepas itu baca doa selepas azan bersama anak-anak. Ini dapat memberi contoh kepada  anak untuk menghormati azan.

10. Bawa Anak Ke Masjid

Bawa anak anda ke masjid untuk solat berjemaah bersama-sama. Ini bertujuan untuk mendedahkan mereka dengan suasana solat berjemaah dan menanamkan semangat cintakan masjid.

11. Tegur Dengan Lembut Kesilapan Anak

Selepas sesi berdoa, biasanya adalah waktu sesuai untuk menegur kesilapan anak-anak. Tegur anak-anak dengan sopan. Mulakan dengan pujian. Setiap kali ingin perbetulkan kesalahan anak-anak, tarik perhatian anak-anak dengan pujian kerana ia dapat mengekalkan fokus anak.

12. Belikan Telekung Atau Kopiah Yang Cantik

Belikan anak-anak kelengkapan solat seperti sejadah, telekung dan kopiah. Lebih-lebih lagi jika telekung atau kopiah itu cantik. Berikan kebebasan kepada anak-anak untuk memilih warna apa yang mereka suka.

Solat merupakan modul latihan paling bagus untuk anak-anak membina kekuatan jiwa, mental dan iman anak-anak. Jika anak-anak dilatih bersolat sejak kecil, mereka tidak berasa kekok untuk melakukan solat apabila sudah besar kelak.

Sumber: AL RAUDHAH