12 Pelajar Lepasan SPM Teruja Terima Surat Tawaran IPT Daripada PM

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Seramai 12 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) begitu teruja apabila menerima surat tawaran melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Mereka menyifatkan surat tawaran yang disampaikan Ismail Sabri menerusi program ‘Jom Masuk IPT Keluarga Malaysia’ sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu, sebagai pembakar semangat untuk mengejar cita-cita.

Muhammad Azim Nazran Zahari, 18, yang mendapat tawaran mengikuti pengajian Asasi Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata beliau agak terkejut apabila mengetahui terpilih menerima tawaran itu dan menganggap dirinya sebagai cukup bertuah dengan peluang yang diberikan.

“Semestinya saya berasa gembira namun ada juga rasa terkejut kerana saya terpilih dalam kalangan pelajar-pelajar yang mendapat tawaran ini,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di sini.

Intan Shaharah Shaharuddin, 18, yang juga akan mengikuti program Asasi Undang-Undang di UiTM berkata tawaran tersebut seperti mimpi menjadi kenyataan kerana beliau sememangnya telah berusaha keras untuk melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut.

“Saya sangat bersyukur sebab memang impian saya untuk sambung pelajaran dalam jurusan undang-undang. Tiga kali saya cuba sebelum ini dan alhamdulillah dapat untuk sesi kedua,” katanya kepada Bernama di sini.

Bakal penuntut UiTM tersebut juga berkata beliau berasa cukup teruja dan bertuah kerana berpeluang bertemu perdana menteri dan turut merakamkan penghargaan atas pelbagai kemudahan yang akan diterimanya.

Bagi K. Nehru, 18, yang mendapat tawaran ke Politeknik Metro Kuala Lumpur dalam bidang Diploma Teknologi Maklumat berkata beliau sangat bersyukur dan berterima kasih kepada perdana menteri kerana meluangkan masa untuk menyampaikan surat tawaran tersebut.

“Semestinya saya cukup berbangga atas peluang yang berharga ini. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada perdana menteri kerana meluangkan masa untuk menyampaikan surat tawaran ini,” katanya.

Selain menerima surat tawaran, 12 pelajar berkenaan juga menerima komputer riba, bantuan wang tunai berjumlah RM700 dan pelan Internet percuma berjumlah RM200 (Pelajar Asasi Undang-Undang UiTM) dan bantuan wang tunai berjumlah RM500 (Pelajar Diploma Politeknik).

Sumber: BERNAMA