120 Pembeli Kecewa Rumah Tak Siap

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARANG: Seramai 120 pembeli kecewa apabila hasrat memiliki kediaman sendiri belum tercapai kerana rumah idaman yang mula dibina pada 2016, masih terbengkalai .

Projek Perumahan Gong Chempedak Fasa 3 itu terbengkalai selepas dua tahun dilaksanakan, turut menyebabkan pembeli terpaksa menanggung beban kewangan tambahan kerana terpaksa membayar ansuran bulanan kos membeli rumah berkenaan antara RM400 hingga RM800 sebulan sejak 2018.

Mereka yang tinggal menyewa menerima nasib lebih teruk kerana terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sehingga RM1,000 setiap bulan bagi membiayai kos sewa rumah dan bayaran bulanan pinjaman perumahan yang terbengkalai itu.

Justeru, pembeli yang sebilangan besarnya daripada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) menggesa pemaju segera menyelesaikan masalah berkenaan.

Penjawat awam, Abdul Halim Mohamed, 34, meminta kerajaan negeri campur tangan kerana masalah itu sudah lama berlarutan.

“Disebabkan tidak ada tempat tinggal, keluarga saya terpaksa menumpang rumah ibu, tapi sampai bila?,” katanya yang membeli rumah di projek berkenaan pada 2016 untuk keselesaan keluarga.

“Sehingga kini rumah masih belum siap, berapa lama lagi kami harus tunggu sedangkan bayaran dibuat setiap bulan. Harap pemaju dapat menyelami perasaan pembeli yang kecewa, sedih, terbeban dengan pelbagai masalah.

“Ada terpaksa menumpang rumah keluarga atau menyewa rumah sementara menunggu rumah sendiri siap,” katanya kepada pemberita di tapak projek perumahan berkenaan, di sini, hari ini.

Mohamad Hafiz Salleh, 38, berkata dia membeli rumah berkenaan selepas berkahwin, namun tidak tahu bila kediaman itu boleh dimiliki.

“Kami sangat kecewa dengan pemaju, tak tahu kenapa pemaju hentikan pembinaan projek itu pada 2018.

“Sudah banyak kali kami buat aduan kepada kerajaan negeri kerana projek didirikan atas tanah kerajaan negeri, namun kecewa kerajaan negeri tak dapat membantu kerana mendakwa ia projek swasta dan bukannya projek kerajaan negeri.

“Daripada tidak ada anak sampai sekarang sudah dua anak, masing-masing berusia empat dan dua tahun, rumah tak dapat-dapat lagi,” katanya yang juga membawa keluarganya menumpang di rumah ibu.

Noranizan Mohd Arshad, 39, pula berkata, kerana tidak mahu menyusahkan keluarga, dia terpaksa menyewa rumah lain sementara menunggu rumah berkenaan siap, namun beban kewangannya turut bertambah.

“Saya belanjakan untuk rumah sahaja kira-kira RM1,000 sebulan, iaitu sewa rumah dan potongan bulanan rumah yang terbengkalai berkenaan,” katanya sangat berharap kerajaan negeri dan pemaju dapat menyelesaikan projek berkenaan secepat mungkin.

Difahamkan, perjanjian jual beli projek terbabit memaklumkan penyerahan kunci rumah sepatutnya pada 2020, namun sehingga kini status projek berkenaan tidak ketahui.

Sumber: BERITA HARIAN