12,000 permohonan daftar NGO tahun lalu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menerima sekurang-kurangnya 12,000 permohonan pendaftaran pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarahnya Jasri Kasim berkata, kebanyakan permohonan diterima membabitkan pertubuhan kebajikan selain terdapat juga permohonan politik.

Beliau berkata, JPPM biasanya menerima permohonan pendaftaran baharu antara 10,000 hingga 14,000 permohonan setiap tahun.

“Tidak semua (permohonan) diluluskan, ada yang kita tolak kerana beberapa isu seperti tidak memenuhi Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966 atau perlembagaan itu sendiri.

“Kita juga perlu menilai sesuatu pertubuhan yang hendak didaftar itu boleh menjamin keselamatan dan ketenteraman awam sebelum permohonan diluluskan.

“Bagaimanapun, permohonan yang ditolak ini masih boleh membuat rayuan dan ketika ini, terdapat kira-kira 170,000 pertubuhan NGO yang aktif di seluruh negara,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Wisma Persatuan Pesakit Buah Pinggang Terengganu (PPBPT) dalam Program Cakna #ros_care Kebajikan sempena Lawatan Kerja di Terengganu di sini.

Turut hadir, Pengarah JPPM Terengganu, Mohd Mufsi Lat dan Pengerusi PPBPT, Mohd Nazli Muhamad@Hashim.

Mengulas mengenai program Cakna #ros_care Kebajikan, Jasri berkata, program berkenaan dilaksanakan JPPM bagi mendekati persatuan dalam usaha mendengar denyut nadi persatuan secara lebih berkesan.

Katanya, program itu bertujuan mempromosikan dan memasarkan organisasi persatuan menggunakan teknologi media yang mampu memperkukuhkan persatuan.

“Terengganu adalah negeri kelima dan selepas ini, kita akan mengadakan beberapa siri lawatan ke negeri lain seperti Perlis, Perak, Kedah, Johor dan Melaka,” katanya.

Sumber: My Metro