Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

RM1.5 Juta Untuk 6,000 Wanita Jalani Mamogram


 
KUALA LIPIS, 14 MAC 2021 : Seramai 6,000 wanita golongan B40 bakal menerima bantuan berjumlah RM150 seorang bagi menjalani pemeriksaan mamogram menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Pahang.
 
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini antara sebahagian peruntukan bantuan yang diberikan kerajaan negeri kepada rakyat di negeri ini.


 
“Program ini ialah Cakna Suri di mana kerajaan Pahang telah memperuntukkan RM1.5 juta bagi tujuan pemeriksaan awalan bagi semua wanita di negeri Pahang seramai 6,000 orang.

“Hari ini kita buat pelancaran di dalam Parlimen Cameron Highlands di Jelai dan ianya dibuat supaya dapat dibuat pengesanan awal sekiranya terdapat penyakit berkaitan payudara dan ianya mudah diubati,” katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Cakna Suri dan Jelajah Peduli Keluarga Negeri Pahang Darul Makmur di Laman Sejahtera Sungai Koyan, di sini, hari ini. 
 
Hadir sama ialah barisan EXCO Kerajaan Pahang, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), En. Abdul Shukur Abdullah, Pengarah LPPKN Negeri Pahang, Puan Norhafizah Mohd Nor dan Pegawai Daerah Lipis, YH Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.


 
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kerajaan Negeri juga sedang mencadangkan penglibatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di negeri Pahang dalam pembangunan di kampung-kampung apabila berjaya mengurangkan ketirisan di dalam pengoperasiannya.
 
“Pada tahun lepas, GLC di negeri ini berjaya menyumbang sebanyak RM36 juta kepada Kerajaan Negeri, jadi saya bercadang supaya GLC ini memilih kampung-kampung di pedalaman atau pun kampung yang kurang maju untuk sama-sama membantu kampung tersebut,” katanya.
 
Inisiatif tersebut dapat membantu pembangunan secara fizikal mahu pun kerohanian bagi memacu kemajuan di kawasan luar bandar sehingga pihak pengurusan kampung dapat berdikari dan berdaya saing. –

Sumber: PAHANGMEDIA