Pasir Puteh: Seramai 13 nelayan asing termasuk tiga daripada positif Covid-19 ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan selepas menceroboh perairan negara, semalam.
Mereka yang menaiki dua bot jenis rawai ditahan APMM pada jarak 50 dan 51.6 batu nautika daripada muara Tok Bali, di sini pada 4.35 dan 5.35 petang.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, kedua bot itu ditahan dalam tempoh sejam oleh bot peronda APMM ketika Op Khas Kuda Laut dilaksanakan.
Katanya, hasil ujian saringan Covid-19 mendapati tiga daripada 13 kru berusia antara 23 hingga 54 tahun yang juga warga Vietnam disahkan positif wabak itu.
“Pemeriksaan mendapati bot pertama dinaiki enam kru dengan seorang tekong dan satu lagi bot dinaiki tujuh kru termasuk tekong.
“Rampasan kali ini membabitkan nilai RM1.5 juta termasuk bot, ikan, diesel dan peralatan menangkap ikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Syed Nor Adli berkata, rampasan membabitkan ikan pelbagai jenis iaitu ikan campur dan ikan baja sebanyak 200 kilogram dan bekalan diesel 1,000 liter.
Katanya, proses membawa balik kedua bot ke Jeti Maritim Malaysia Negeri Kelantan di Tok Bali mengambil masa 16 jam dan tiba di situ jam 9.30 pagi tadi.
Katanya, pemeriksaan mendapati kedua bot tidak memiliki permit menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985 dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua mereka juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.
Sumber: My Metro