KOTA BHARU – Terdapat tiga belas pengemis termasuk lima warga asing ditahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Kebajikan Maysrakat (JKM) bersama Jabatan Imigresen dan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).
Menurut Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguarkuasaan JKM Negeri, Mohamad Md Nor, kesemua mereka yang berusia antara 11 hingga 75 tahun ditahan ketika operasi dijalankan di kawasan sekitar hadapan bank, Dataran Muhammadi, Pasar Siti Khadijah dan Taman Hijau.
Katanya, operasi tersebut dijalankan bagi membanteras kegiatan mengemis di bulan Ramadan yang dilihat menjadi aktiviti “tahunan” kepada kumpulan ini dan lebih menghairankan sesetengah daripada mereka yang ditahan merupakan penerima bantuan bulanan daripada JKM.
“Rata-rata daripada mereka ini berasal dari jajahan Timur, Pasir Puteh dan Pasir Mas yang datang ke Kota Bharu dengan menaiki teksi.”
“Bagi golongan warga emas yang tergolong dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU), kebiasaannya mereka akan datang pada waktu pagi dan pulang pada sebelah petang,” tambah beliau.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi warga tempatan yang ditahan, mereka diminta menandatangani Surat Aku Janji dan dihalang untuk berbuat demikian, manakala bagi warga asing dari Thailand, Kemboja dan Myanmar yang ditahan mereka akan dikenakan menerusi Akta Imigresen sebaik sahaja diserahkan kepada jabatan berkenaan.
“Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan mengemis terutamanya pada bulan Ramadan,” katanya yang menambah pihaknya belum dapat mengesan sama ada kesemua pengemis yang ditahan merupakan mangsa kepada sindiket atau sebaliknya.
Sumber: BERNAMA