Kota Bharu: Seramai 131 individu menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi sistem pandu lalu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini yang menjadi perintis dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Pengarah HUSM, Profesor Datuk Dr Ahmad Sukari Halim berkata, ia dilaksana menerusi dua fasa iaitu pada 22 Mac lalu yang membabitkan 123 penerima daripada petugas kesihatan hospital itu, manakala fasa kedua pada 25 Mei lalu.
Katanya, menerusi fasa kedua, lapan individu menerima vaksin Covid-19 ialah pesakit yang berdaftar dengan HUSM.
“Fasa pertama pandu lalu dibuat di luar Pusat Pemberian Vaksin (PPV), manakala fasa kedua dilakukan di luar Dewan Utama Kampus Kesihatan USM.
“Hanya mereka yang terpilih mengikut kriteria ditetapkan PPV Khas serta dinilai doktor sahaja menerima suntikan vaksin melalui pandu lalu itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Penyelaras PICK. Khairy Jamaluddin berkata, beliau akan mengeluarkan arahan dan garis panduan pemberian vaksin secara pandu lalu, esok untuk semua negeri yang mahu melaksanakannya.
Khairy berkata, beberapa negeri sudah meminta kebenaran untuk menjalankan sistem itu susulan keputusan projek rintis oleh HUSM yang memberangsangkan.
“Saya minta tempoh 24 jam untuk mengeluarkan garis panduan pelaksanaan pemberian vaksin pandu lalu ini. Kita perlu pastikan ada garis panduan keselamatan, tak boleh pandu lalu, terus cucuk (vaksin) dan terus pergi. Kena ada tempoh pemantauan.
“Idea itu bagus dan kita sudah timbang,” katanya seperti dilapor.
Sumber: My Metro