137 masjid, surau lagi jadi pusat agihan Gerobok Rezeki, Dapur It’am

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Putrajaya: Sebanyak 137 masjid dan surau lagi di Wilayah Persekutuan dijadikan pusat agihan bawah program Dapur It’am dan Gerobok Rezeki anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Pertambahan itu menjadikan jumlahnya sebanyak 204 pusat agihan, setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Jawi memperuntukkan hampir RM4 juta bagi dua inisiatif ini yang diadakan sejak Mac 2020.

Menurut beliau, Gerobok Rezeki yang menyediakan bantuan asas dapur dan Dapur It’am yang menyediakan makanan tengah hari itu bertujuan membantu golongan memerlukan termasuk petugas barisan hadapan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, beliau mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat, Jawi dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atas usaha diadakan itu.

“Ambil jika perlu, sumbang sekadar mampu,” katanya melalui akaun Facebooknya.

Pada awal Jun lalu, media melaporkan Jawi dengan kerjasama MAIWP meneruskan Program Dapur It’am 5.0 setiap hari, tujuh hari seminggu bermula 4 Jun hingga 18 Julai ini.

Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ia adalah kesinambungan program yang dimulakan lebih setahun lalu berkonsepkan soup kitchen yang berpusat di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan, untuk menyediakan edaran pek makanan bermasak secara percuma kepada golongan sasaran yang memerlukan.

Beliau dilaporkan berkata, sebanyak 10,500 pek makanan bermasak akan disediakan di masjid dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk diedarkan pada waktu tengah hari melalui wakil penduduk atau khidmat penghantar makanan.

Seramai 472,500 orang dijangka menerima manfaat daripada inisiatif terdiri daripada asnaf, B40, petugas barisan hadapan, penduduk Projek Perumahan Rakyat, Projek Perumahan Awam yang dikenal pasti serta lain-lain golongan terkesan dan memerlukan di sekitar Wilayah Persekutuan.

Sumber: My Metro