14 Taman Eko Rimba Pahang Diswasta

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

CAMERON HIGHLANDS – Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menswastakan 14 kawasan ekopelancongan berstatus Hutan Simpan Kekal di negeri ini yang berada dibawah selian pihaknya.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata di Pahang terdapat sebanyak 26 Taman Eko Rimba (TER) yang menjadi antara produk pelancongan terkenal di setiap daerah.

Katanya, keputusan penswastaan berkenaan bertujuan untuk menjadikan pusat pelancongan terbabit dapat diurus dengan lebih sempurna, seterusnya mampu menarik kehadiran lebih ramai pelancong.

Katanya, antara Taman Eko Rimba telah diswastakan ialah Taman Eko Rimba Sungai Pandan, Taman Eko Rimba Berkelah, Taman Eko Rimba Lubuk Yu, Taman Eko Rimba Kenong, Taman Eko Rimba Kem Nusa, Air Terjun Pelangi, Hutan Konifer, Air Terjun Ulu Tampik dan Pusat Kecemerlangan Alam Sekitar Sungai Tabung (PKAS).

“Peruntukan RM15 juta disediakan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk menaik taraf tempat berkenaan dengan pelbagai kemudahan serta produk yang dapat menarik kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Kita tidak mampu untuk menguruskan semua TER yang terdapat di negeri ini, justeru hanya dengan penswastaan sahaja dapat menyelesaikan masalah berkenaan.

“Negeri ini sememangnya kaya dengan produk ekopelancongan terletak dalam Hutan Simpan Kekal, ia mampu memberi sumber pendapatan kepada kerajaan negeri,” katanya.

Mohd Hizamri berkata, kerjasama projek CHiMP tamat pada 31 Disember 2020 dan kerajaan Pahang membuat keputusan bahawa tapak projek CHiMP perlu diserahkan semula kepada JPNP sebelum diswastakan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Tapak Projek Cameron Highlands Montane Park (CHiMP) yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang di TER Parit Fall, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Ismail Parlan.

Sumber: BERITA HARIAN