150 tapak pembinaan diarah tutup

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar Hiasan

Kuala Lumpur: Sebanyak 150 tapak pembinaan di seluruh negara diarah tutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lalu kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan berkata sejak PKP 3.0 dilaksanakan, 2,423 tapak pembinaan diperiksa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), dengan 446 (18 peratus) tapak pembinaan didapati beroperasi, manakala sebanyak 1,977 (82 peratus) tidak beroperasi.

Menurutnya, daripada 446 tapak yang beroperasi, didapati 150 tapak pembinaan (34 peratus) tidak mematuhi SOP, manakala 296 (66 peratus) tapak lagi mematuhi SOP.

“Kementerian amat memandang serius peratusan ketidakpatuhan SOP yang tinggi di tapak pembinaan kerana ia satu perkara yang amat membimbangkan dan akan menjejaskan objektif PKP penuh ini untuk mengekang penularan wabak Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu lagi, daripada 150 tapak pembinaan yang ditutup 45 terletak di Sarawak, Selangor (24), Melaka (16), Pulau Pinang (10), Terengganu (10), Sabah (9), Johor (7), Kuala Lumpur (6), Pahang (6), Perak (5), masing-masing empat di Kedah dan Negeri Sembilan, tiga di Perlis dan satu di Kelantan.

Bagaimanapun 11 daripada tapak pembinaan yang diarah tutup sudah pun dibenarkan beroperasi semula selepas mereka mematuhi SOP ditetapkan.

Menurut kenyataan itu lagi, selain mengarahkan tapak pembinaan ditutup dengan serta-merta, CIDB juga boleh mengenakan penalti tidak melebihi RM500,000 atau menggantung dan membatalkan Perakuan Pendaftaran Kontraktor.

Semua penggiat industri pembinaan juga diwajibkan mematuhi arahan semasa dan SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan matlamat PKP 3.0 dapat dicapai.

“Sejak PKP 3.0 bermula, CIDB mempergiatkan pemeriksaan di tapak pembinaan, dalam usaha mengekang pandemik Covid-19 susulan peningkatan penularan kes positif Covid-19 di tapak pembinaan seluruh negara, khususnya di Lembah Klang,” menurut kenyataan itu.

Sumber: My Metro