Jahit pakaian, ternak haiwan guna kaki

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Pok Su Mie melakukan kerja dengan kaki bermula dari mengukur, memotong sehinggalah menjahit pakaian yang diminta oleh pelanggan.

Kata-kata sinis yang berbunyi orang kurang upaya (OKU) hanya layak makan duit bantuan bulanan kerajaan membuatkan seorang lelaki, Rahim Yusof, 55, nekad membuktikan golongan tersebut mampu bekerja seperti manusia normal lain.

Dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan dan hanya bergantung kepada kaki sejak kecil, Rahim atau mesra dengan panggilan Pok Su Mie dilihat ‘lincah’ melakukan pekerjaannya sebagai tukang jahit dan penternak tanpa sebarang masalah setanding dengan manusia normal lain.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia tidak menjadikan kekurangan fizikal yang ada pada dirinya sebagai penghalang untuk berjaya sebaliknya lebih selesa menjadikan ia satu kelebihan.

“Semua dilakukan dengan kaki bermula dari kerja mengukur, memotong sehinggalah menjahit pakaian yang diminta oleh pelanggan.

“Memberi haiwan ternakan makan, memandu kereta, menjawab telefon dan sebagainya semua menggunakan kaki,” katanya kepada Sinar Harian di Kampung Bukit Pangkal Gong di sini.

Menurutnya, sepasang kaki kurniaan Tuhan itu dianggap sebagai tangan yang menjadi ‘tunjang’ dalam menyara keluarga.

Dia yang merupakan bekas atlet Paralimpik berkata, selain mengambil upah menjahit pakaian, dia turut membela lembu, kambing, ikan keli dan itik bagi mengukuhkan kewangan.

Pok Su Mie berkata, walaupun isterinya, Noraidah Hamzah, 46, berstatus OKU iaitu hilang upaya untuk berjalan sejak kecil namun kehidupan mereka berjalan seperti orang lain.

Pok Su Mie mengambil jerami menggunakan kakinya untuk diberi makan kepada ternakan

Dia berkata, isterinya itu turut membantu mengukuhkan ekonomi keluarga dengan berniaga telur masin yang dibuat sendiri.

“Alhamdulillah, kami saling melengkapi antara satu sama lain. Saya juga bersyukur apabila ketiga-tiga anak normal seperti orang lain.

“Saya juga berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Pusat yang banyak membantu dengan memberikan dana dalam usaha mengukuhkan ekonomi keluarga,” katanya.

Pok Su Mie berkata, dia pernah berdepan dua ujian getir dalam hidup iaitu rumahnya musnah dalam kebakaran pada tahun 2010.

Katanya, empat tahun kemudian dia dan isteri serta anak diuji apabila rumah mereka rosak teruk semasa bah kuning membadai Kelantan.

“Walaupun diuji dengan dugaan yang teruk, saya tetap tidak mudah mengalah. “Saya cuba bangkit, Alhamdulillah kehidupan saya menjadi bertambah baik pada hari ini.

“Nasihat saya, jangan mudah putus asa, Insya-ALLAH rezeki akan bersama kita, jika berusaha,” katanya.

SUMBER: Sinar Harian