16 CCTV Pantau Trafik Dalam Bandar Kota Bharu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Sebanyak 16 unit kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di pusat bandar ini bagi tujuan memantau pergerakan lalu lintas dan memastikan kelancaran aliran trafik

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Rosnazli Amin berkata, pemasangan CCTV oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Program Bandar Selamat itu juga bertujuan menambah baik sistem pemantauan supaya lebih efisyen.

“Kita ambil langkah proaktif ini demi membantu tugasan agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu kesesakan lalu lintas.

“Berdasarkan pemantauan, kesalahan biasa dikesan menyebabkan gangguan lalu lintas ialah tindakan pemandu meletakkan kereta bertindih hingga menghalang lalu lintas dan kenderaan menunggu penumpang di laluan tidak dibenarkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, keadaan lalu lintas masih terkawal dengan jumlah aliran kenderaan memasuki pusat bandar menunjukkan peningkatan dalam masa seminggu kebelakangan ini.

Katanya, dijangkakan jumlah kenderaan memasuki pusat bandar akan meningkat dengan mendadak dan berlaku kesesakan bermula Sabtu.

“Ia susulan kepulangan lebih kurang satu juta kenderaan memasuki Kelantan yang akan mengunjungi pusat bandar untuk mendapatkan keperluan hari raya.

“Dalam mengawal kelancaran, modus operandi dilaksanakan ialah petugas di bilik kawalan CCTV akan memaklumkan sebarang kesalahan atau kesesakan lalu lintas serta merta kepada anggota penguat kuasa yang meronda yang kemudian menyuraikan sebarang halangan dengan kaedah ditetapkan peraturan,” katanya.

Rosnazli turut menasihatkan pemandu mematuhi peraturan berkuat kuasa terutama ketika meletakkan kenderaan supaya tidak menghalang lalu lintas.

“Orang ramai juga mempunyai pilihan jalan alternatif, masa dan kenderaan sesuai untuk memasuki pusat bandar bagi memastikan tidak terperangkap serta membuang masa dalam kesesakan jalan raya,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN