16 pengarah syarikat ditahan disyaki seleweng geran MITRA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 16 orang pengarah syarikat kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan jutaan Ringgit peruntukan geran Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Semua individu terbabit yang berusia antara 24 tahun dan 68 tahun dikaitkan dengan agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Mereka ditahan dalam satu operasi besar-besaran di sekitar Lembah Klang bermula petang semalam hingga lewat malam tadi.

Pagi ini, semua 16 yang ditahan itu dihadapkan Ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi proses reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah. Siasatan dibuat di bawah seksyen 16 (a) dan seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, mengesahkan penahanan mereka.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

Satu sumber mendedahkan, SPRM kini menjalankan siasatan berhubung kira-kira 60 peratus daripada peruntukan geran yang diberikan melalui MITRA tidak sampai kepada kumpulan sasaran yang sepatutnya.

Ketika ini, dianggarkan MITRA memperoleh bajet berjumlah RM100 juta setahun.

Kata sumber, puluhan juta dilesapkan oleh kumpulan terbabit, yang pada asalnya memohon geran peruntukan MITRA bagi melaksanakan program sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.

“Siasatan kes ini akan merangkumi semua bentuk permohonan dan perbelanjaan peruntukan geran yang disalurkan oleh MITRA bermula tahun 2018 hingga kini.

“Kita menganggarkan hampir 60 peratus daripada peruntukan geran yang diterima oleh syarikat, orang perseorangan dan yayasan bagi tujuan pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi tidak sampai kepada kumpulan sasaran yang sepatutnya,” kata sumber.

Sumber berkata, siasatan SPRM mendapati tiada program dibuat dan tiada pernyataan perbelanjaan dapat dikemukakan.

Minggu lalu, BH melaporkan SPRM membuka kertas siasatan berhubung isu dana MITRA selepas pihaknya menerima aduan berhubung dakwaan penyelewengan dana di bawah agensi MITRA.

MITRA distruktur semula pada tahun 2018 ketika pentadbiran Kerajaan PH dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Pada April 2020 hingga kini, MITRA diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Sumber: Berita Harian