RANTAU PANJANG: Polis merampas 1,608 botol perisa vape pelbagai jenama bernilai RM192,960 di pangkalan haram Tebu, di sini, jam 1.45 petang semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata ketika kejadian anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) sedang membuat rondaan sebelum terserempak sebuah pacuan empat roda, Isuzu Dmax berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, menyedari kehadiran pihak polis, pemandu bertindak memberhentikan kenderan dan melarikan diri ke kawasan hutan.
“Usaha menjejaki suspek gagal, namun hasil pemeriksaan pada kenderaan terbabit menemui perisa vape yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.
“Anggota membawa kesemua barangan rampasan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, untuk tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952,”
“Kesemua perisa vape kemudian akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Muhamad Zaki berkata, cecair vape mendapat permintaan tinggi di negara jiran dan difahamkan kerajaan Thailand mengharamkan penggunaan bahan bernikotin itu, justeru mereka memilih cara menyeludup masuk secara haram untuk mendapatkan bekalan.
“Polis sentiasa bersiap siaga untuk menumpaskan kumpulan penyeludup ini yang jelas menyalahi undang-undang negara kerana melakukan aktiviti pembolosan kawasan sempadan.
“Kerjasama masyarakat setempat juga diperlukan untuk sama-sama membanteras kegiatan ini,” katanya.
Sumber: BERITA HARIAN