Satu mayat lelaki warga emas lelaki ditemui orang awam selepas terhidu bau busuk di tangga sebuah bangunan dalam pembinaan di Jalan Tengku Chik di sini pada Ahad.
Lelaki dianggarkan berusia lingkungan 60-an itu ditemui dalam keadaan terbaring pada jam 6 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud yang dihubungi berkata, pengadu kebetulan melalui kawasan tersebut dan terhidu bau busuk sebelum ternampak satu lelaki terbaring di tangga bangunan.
Katanya, pengadu kemudian menghubungi pihak polis dan sepasukan anggota berkenaan bergegas ke lokasi penemuan mayat sebaik sahaja menerima laporan.
“Anggota polis yang tiba di lokasi mendapati lelaki terbabit berada dalam keadaan terbaring di tangga bangunan dan disahkan sudah meninggal dunia.
“Pemeriksaan dijalankan mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh seminggu lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah berbau dan berulat” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah.
“Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II ( HRPZ II) untuk bedah siasat.
“Polis meminta kerjasama waris yang kehilangan ahli keluarga supaya membuat pengecaman mayat tersebut,” katanya.
SUMBER : Sinar Harian