KUANTAN : Sebanyak 18 Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di negeri ini akan dibuka secara penggiliran bermula 11 Oktober depan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ini selaras dengan penetapan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi negeri-negeri yang telah beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Merujuk kepada pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia pada 22 September 2021, berkaitan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Negeri Johor, Pahang dan Negeri Sembilan yang berkuatkuasa pada 24 September 2021.
“Sesi persekolahan ini akan dijalankan secara penggiliran sebagaimana yang ditetapkan dalam SOP Fasa 3 bagi sekolah harian / swasta melibatkan pelajar yang akan mengambil peperiksaan bersijil.
“Ini melibatkan Sijil Menengah Agama Negeri Pahang (SMA) seramai 1,607 orang pelajar, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melibatkan 1,373 orang pelajar, dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) melibatkan 473 orang pelajar. Dan jumlah keseluruhan pelajar terlibat adalah seramai 3,549 orang,” katanya.
Menurut beliau lagi, tiada sesi penggiliran akan dijalankan di SMAN memandangkan semua kelas yang ada mencukupi untuk digunakan pelajar terlibat.
Tambah beliau lagi, pelajar yang masih belum menerima suntikan vaksinasi boleh hadir ke sekolah tetapi dinasihatkan supaya mengambil vaksin bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
“Sehingga kini seramai 3,141 pelajar tingkatan 4, 5 dan 6 SMAN telah menerima suntikan vaksin melalui Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing dan masih berbaki 312 pelajar yang masih belum divaksinkan.
“Guru yang belum menerima vaksin lengkap atau belum divaksin perlu hadir ke sekolah tetapi tidak dibenarkan melaksanakan PdP secara bersemuka dan perlu ditempatkan dalam bilik yang berasingan dan mestilah sentiasa memakai pelitup muka berganda serta pelindung muka dengan mematuhi SOP khusus yang disediakan.
“Pelajar wajib memakai pelitup muka sepanjang tempoh mereka berada dalam kawasan sekolah. Pemakaian pelitup muka berganda digalakkan,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA