1,848 kawasan berisiko banjir di seluruh negara

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah mengenal pasti 1,848 kawasan berisiko banjir di seluruh negara yang dijangka berlaku sepanjang musim tengkujuh nanti.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, pihaknya memberi fokus kepada enam negeri yang dijangka berisiko berlaku banjir besar sepanjang musim berkenaan.

Beliau berkata, ia membabitkan tiga negeri di pantai timur diikuti Johor, Sabah dan Sarawak.

“Enam negeri antara yang berisiko dan kita akan beri tumpuan lebih dengan menggerakkan anggota ke lokasi berkenaan jika berlaku banjir luar biasa termasuk banjir luar jangka.

“Ini bukan bermaksud kita mengabaikan negeri lain dan kita sememangnya bersedia dengan lebih 10,000 orang bersama aset bagi menghadapi peralihan monsun timur laut yang dijangka melanda tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Wahab berkata, sebanyak 171 kematian daripada 181 kes lemas direkodkan di seluruh negara dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Katanya, Sarawak merekodkan jumlah kematian tertinggi iaitu 32 kes diikuti Perak yang merekodkan 22 kes.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak terlalu ghairah melakukan aktiviti di air meskipun kebanyakan lokasi pelancongan serta pusat rekreasi dibuka.

“Orang ramai yang melakukan aktiviti riadah di sungai, pantai dan kawasan air terjun diingatkan untuk sentiasa peka dengan keadaan semasa ketika melakukan aktiviti di air bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Sumber: My Metro