19 calon SPM dikuarantin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Seramai 19 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada 22 Februari ini, ditempatkan di pusat kuarantin Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), pada Rabu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semua pelajar itu adalah di kalangan anak ibu bapa positif Covid-19.

“Langkah itu untuk memudahkan pelajar mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan lebih selesa dan berkesan.

“Masing-masing 12 lelaki dan tujuh perempuan ditempatkan di pusat ini dengan disediakan pelbagai kemudahan termasuk Internet.

“Di pusat ini, setiap pelajar disediakan sebuah bilik dan di KUIPSAS ini, kapasiti pelajar yang boleh ditempatkan seramai 200 orang.

“Pusat ini dibuka hanya membabitkan pelajar yang bakal menduduki SPM dan disahkan negatif iaitu di kalangan ibu bapa mereka yang disahkan positif Covid-19,” katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di pusat kuarantin KUIPSAS, di sini.

Bagi memastikan pelajar berkenaan belajar dalam keadaan tenang dan selesa, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan serta merta sejumlah RM10,000 untuk membeli peralatan seperti kertas, pen serta keperluan peribadi sepanjang berada di pusat berkenaan.

“Pematuhan Prosedur Operasi standard (SOP) diberi tumpuan khusus yang dipantau Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri.

“Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) pula akan memastikan segala keperluan terutama daripada segi makan dan minum serta bilik termasuk agensi lain,” katanya.

Sumber: My Metro