KOTA BHARU – Seramai 197 remaja ditahan polis kerana disyaki terbabit dengan kes rogol, sumbang mahram dan penyalahgunaan dadah di negeri ini sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata 97 daripada mereka ditahan atas kes rampasan dan penyalahgunaan pelbagai jenis dadah termasuk pil yaba dan syabu.
Katanya, 100 remaja lagi ditahan kerana terbabit dalam kes rogol serta sumbang mahram, yang meningkat sebanyak 19 peratus atau 16 orang berbanding 84 yang ditahan bagi kesalahan sama pada 2020.
“Gejala sosial remaja di Kelantan berada pada tahap serius dan ini dapat dilihat daripada statistik terkini di mana berlaku peningkatan pembabitan golongan itu dalam kes-kes rogol dan sumbang mahram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau yang sebelum itu merasmikan Program Pameran Cakna Menangani Gejala Sosial Remaja Peringkat Kontinjen Kelantan 2022, berkata remaja merujuk kepada individu berumur 10 hingga 18 tahun yang sentiasa mempunyai perasaan ingin mencuba.
“Pada peringkat usia berkenaan, mereka akan alami pelbagai perubahan drastik, termasuk perubahan fizikal, jasmani, sosial, emosi dan bahasa. Zaman remaja juga boleh disifatkan zaman penuh pancaroba dan seandainya tidak mampu urus hidup dengan baik, mereka berisiko terkandas dan tercicir dalam perjalanan hidup,” katanya.
Shafien mengesyorkan semua pihak memainkan peranan dalam menggembleng usaha menangani gejala sosial remaja, khususnya di Kelantan kerana masalah itu tidak boleh dipandang remeh.
“Remaja tonggak negara dalam menerajui kepemimpinan masa akan datang. Justeru itu, saya mengharapkan agar Program Pameran Cakna Menangani Gejala Sosial dapat diteruskan pada masa-masa akan datang sebagai usaha kita bersama untuk menangani gejala sosial remaja di Kelantan secara keseluruhan,” katanya.
Sumber: BERITA HARIAN