Kuantan: Polis merampas 2.67 juta batang rokok putih yang ditemui dalam sebuah lori di Kilometer 193.3 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1, dekat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gambang, di sini.
Rampasan itu dilakukan Unit Task Force Op Kontraban Ibu Pejabat Briged Tenggara, Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas berjaya memintas dan menahan sebuah lori pada 7.30 pagi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, hasil pemeriksaan, pihak berkuasa menemukan sejumlah rokok yang tidak mempunyai pengesahan bercukai oleh Kastam Diraja Malaysia (KDRM).
Katanya, ia ditutupi dengan kotak kosong pelbagai jenama makanan dan barangan runcit yang bertujuan mengaburi pihak berkuasa.
“Sebanyak 2,677,500 batang rokok putih yang bernilai RM2,008,12 termasuk cukai, dirampas.
“Turut dirampas sebuah lori dianggarkan berjumlah RM120,000, sebuah telefon bimbit, wang tunai dan satu unit Sistem Pengesanan Global (GPS),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.
Ramli berkata, siasatan awal mendapati rokok ini dipercayai diperoleh dari negara jiran dan dibawa masuk melalui jalan laut di perairan Pahang sama ada dari Pekan atau Rompin.
Katanya, rokok ini dipercayai akan diedarkan di sekitar Kuala Lumpur.
“Hasil pemeriksaan lanjut turut menemukan dua set nombor pendaftaran dipercayai palsu.
“Pemandu lori berusia 32 tahun juga ditahan untuk membantu siasatan dan siasatan awal mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang 10 ganda nilai atau RM100,000 yang mana lebih tinggi atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Ramli berkata, polis tidak menolak kemungkinan rokok putih dan kretek yang tidak mempunyai cukai kastam berjumlah hampir RM2 juta termasuk cukai yang dirampas dalam pemeriksaan ke atas sebuah lori di Jalan Muadzam Shah-Bukit Ibam, Rompin, 2 Julai lalu, mempunyai kaitan.
“Justeru, polis akan mempertingkatkan lagi operasi membanteras penyeludupan rokok tidak berkastam.
“Polis meminta kepada masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan terutama rokok dan minuman keras,” katanya.
Sumber: My Metro