KOTA KINABALU: Dua pelajar sebuah sekolah menengah, di Pitas yang kritikal akibat keracunan metanol selepas dipercayai meminum minuman bercampur spirit di asrama sekolah, meninggal dunia, selang sehari dengan kes terbaru berlaku semalam.
Mangsa yang maut pada jam 4 petang semalam di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) membabitkan pelajar berusia 17 tahun, manakala seorang lagi pelajar maut pada Rabu lalu ketika menerima rawatan di HQE 1 disebabkan kegagalan pelbagai organ.
Selain itu, 25 pelajar yang dimasukkan ke HQE akibat kejadian sama, sudah dibenarkan keluar hospital.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak, berkata pelajar yang meninggal dunia semalam disebabkan kecederaan otak yang teruk akibat keracunan metanol itu.
“Mayat pelajar berusia 17 tahun itu tidak perlu dibedah siasat memandangkan sebab kematian sudah diperoleh dan mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan.
“Tidak ada lagi pelajar yang dirawat di hospital dan semua 25 pelajar yang turut dirawat sebelum itu sudah pulang ke asrama.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Pada 9 Jun lalu, 27 pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Pitas dimasukkan ke hospital akibat keracunan metanol selepas dikatakan minum minuman bikarbonat yang dicampur dengan cecair spirit hingga menyebabkan keracunan.
Kejadian itu menyebabkan dua pelajar kritikal dan menerima rawatan di ICU HQE.
Difahamkan, pelajar terbabit membeli minuman bikarbonat itu di kedai runcit berhampiran dan kemudian mencampurkannya dengan spirit sebelum meminumnya.
Sementara itu, Pemangku Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Asits Sanna dalam kenyataan media, berkata keputusan sampel proxy untuk ujian peratus metanol disahkan mengandungi 89 peratus kandungan metanol oleh Jabatan Kimia Kota Kinabalu, pada 12 Jun lalu.
“Sehingga jam 10 pagi semalam, jumlah notifikasi mangsa disyaki keracunan metanol yang diterima adalah sebanyak 48 notifikasi.
“Daripada jumlah itu, 27 pelajar diklasifikasikan sebagai kes yang disahkan keracunan metanol berdasarkan kepada keputusan makmal,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai perlu mengetahui bahaya mengambil minuman beralkohol yang tidak sah dan tercemar.
“Jika mengalami tanda keracunan metanol seperti sakit perut, muntah, sakit kepala atau kabur penglihatan selepas mengambil minuman beralkohol, sila dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan yang terdekat,” katanya.
Sumber: BERITA HARIAN