2 Rentung Nahas Lori Treler Terbakar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SEREMBAN: Dua mangsa dipercayai pemandu bersama kelindan, ditemui rentung dalam kebakaran sebuah treler di Kilometer (KM) 259.6 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur keluar Plaza Tol Port Dickson, dekat sini, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 8.40 pagi itu menyebabkan semua lorong terhalang di laluan berkenaan dan berlaku kesesakan lalu lintas hingga sejauh lebih enam kilometer, setakat jam 11.30 pagi, dengan rakaman video oleh pengguna jalan raya juga tular dalam laman sosial.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, kedua-dua mangsa dijumpai rentung di dalam treler yang membawa kontena itu, selepas pasukan berjaya memadamkan api yang memusnahkan keseluruhan bahagian kepala kenderaan terbabit.

Terdahulu, beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.42 pagi sebelum sepasukan sembilan anggota serta pegawai bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 bergegas ke lokasi.

“Pasukan terus melakukan kerja pemadaman api dan pembersihan yang selesai kira-kira jam 11.30 pagi. Pihak bomba menemui dua mayat yang rentung 100 peratus di tempat duduk pemandu dan penumpang.

“Bagaimanapun, identiti dan jantina mangsa belum dikenal pasti. Punca kejadian masih dalam siasatan.

“Insiden turut menyebabkan semua lorong terhalang di laluan berkenaan dan trafik sesak hingga sejauh lebih enam kilometer, setakat jam 11.30 pagi,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) menerusi laman Facebook memaklumkan semua lorong masih terhalang, dan kenderaan terpaksa dilencongkan ke Plaza Tol Port Dickson.

Sementara itu, Ketua BBP Seremban 2, Mohd Kamal Mohd Timar, berkata pihaknya mendapati treler terbabit membawa kontena muatan barangan lusuh plastik.

“Mayat kedua-dua mangsa kejadian itu diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN