2 tujuan labuhkan tukun tiruan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Jabatan Perikanan Negeri Pahang akan melabuhkan 10 tukun tiruan di laut, 4.5 batu nautika dari pantai Kampung Cherok Paloh, di sini, Isnin depan.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Abdullah Jaafar berkata, program melabuhkan tukun bernilai RM325,000 mampu menarik ikan selepas 24 jam dilabuhkan.

Menurutnya, penggunaan tukun tiruan jenis Konkrit Kuboid Juvenil juga sebagai penghalang aktiviti pukat tunda di kawasan terbabit.

Katanya, aktiviti memancing oleh nelayan tempatan dan luar Pahang akan menjadi lebih rancak apabila terdapatnya tukun tiruan di perairan terbabit.

“Kerja membina 10 unit tukun tiruan berkenaan dilakukan di tapak bina tukun kawasan Pejabat Cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber di Teluk Gading, Tanjung Gemok, Rompin bermula Julai lalu. Kini kerja menempatkan tukun ke atas tongkang sedang dilakukan.

“Tukun jenis berkenaan amat sesuai berada di perairan negeri ini yang menjadi serampang dua mata. Selain menjadi tempat pembiakan pelbagai jenis ikan ia juga turut menjadi penghalang aktiviti pukat tunda oleh nelayan asing di kawasan terbabit,” katanya, di sini, hari ini.

ABDULLAH Jaafar. FOTO Mohd Rafi Mamat
ABDULLAH Jaafar. FOTO Mohd Rafi Mamat

Beliau berkata, perairan negeri ini menjadi tumpuan bot pukat tunda nelayan warga asing menangkap hasil laut hingga menjejaskan pendapatan nelayan tempatan selain turut merosakan bubu serta unjang nelayan tempatan.

Abdullah berkata, dalam tempoh 13 tahun jabatan melabuhkan 262 tukun tiruan konkrit perairan di negeri ini seperti perairan Cherating, Rompin, perairan Pekan dan Pulau Tioman membabitkan peruntukan bernilai lebih RM4.4 juta.

“Setiap tahun jabatan akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi menyediakan tukun tiruan pelbagai jenis dalam usaha menambah pendapatan golongan nelayan selain dapat meningkatkan lagi sektor pelancongan menerusi aktiviti memancing yang sudah terkenal di perairan negeri ini,” katanya.

Sumber: My Metro