KUALA LUMPUR – Sambutan Aidilfitri tahun ini tampak bakal disambut lebih ceria oleh 200 atlet, atlet para dan bekas atlet yang sudah berjasa serta mengharumkan nama Selangor dan negara sebelum ini.
Semua penggiat sukan ini menerima sumbangan daripada kerajaan Selangor melalui Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman sekali gus menunjukkan komitmen berterusan mereka dalam menjaga kebajikan atlet dan bekas atlet .
Mereka menerima sumbangan sebanyak RM200 menerusi program yang turut mendapat kerjasama berterusan dari Yayasan Kebajikan Atlat Kebangsaan (YAKEB) dan Persatuan Orang Buta Malaysia.
“Ini kali ketiga ia diadakan antara kerajaan negeri Selangor, YAKEB dan Persatuan Orang Buta Malaysia. Program hari ini seperti tahun seblum itu, kita memberikan bantuan kepada bekas atlet yang pernah mencipta nama atas nama Selangor.
“Untuk hari ini, ia membabitkan seramai 200 bekas atlet dengan 50 hadir pada majlis hari ini manakala yang lain akan disalurkan menerusi akaun bank masing-masing,” kata Mohd Khairuddin selepas majlis berkenaan.
Mohd Khairuddin berkata jumlah peruntukan disediakan kerajaan negeri untuk bekas atlet bagi tahun ini saja adalah RM250,000.
Katanya, RM50,000 dalam bentuk bantuan raya manakala RM200,000 lagi dalam bentuk program Atlet Ceria seperti membaiki rumah kediaman mereka dan peralatan rumah.
“Saya berterima kasih kepada YAKEB dan Persatuan Orang Buta Malaysia yang sentiasa bekerjasama dengan kerajaan Selangor untuk memastikan bekas atlet Selangor terus dijaga sehingga ke hari ini.”
Sumber: BERITA HARIAN