200 penjawat awam di Terengganu belum ambil vaksin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Penjawat awam di Terengganu diberi tempoh sehingga akhir bulan depan untuk mengambil vaksin dan melengkapkan imunisasi bagi mengelakkan dikenakan tindakan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, terdapat 200 penjawat awam pelbagai pangkat bertugas di jabatan dan agensi kerajaan negeri belum mengambil vaksin.

Beliau berkata, hasil perjumpaan dan sesi kaunseling diadakan, penjawat awam terbabit berjanji untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19 sebelum akhir bulan ini.

“Kita masih dalam usaha memujuk dan memberi motivasi kepada sebilangan kecil lagi penjawat awam yang dikaitkan dengan antivaksin.

“Secara keseluruhan, kita berpuas hati apabila hampir 99.8 peratus penjawat awam di negeri ini sudah lengkap divaksin,” katanya ketika ditemui pada program kayuhan bersama Datuk Bandar di Dataran Batu Burok, di sini.

Program kayuhan bersama Datuk Bandar sejauh kira-kira 15 kilometer turut disertai lebih 150 pengayuh basikal diadakan sempena Hari Sukan Negara (HSN) peringkat Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Turut menyertai kayuhan basikal adalah pelumba basikal negara, Mohd Harris Salleh; Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rozali Salleh; Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md Isa dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Zulkarnain Yassin.

VAKSIN Covid-19 Sinovac. FOTO fail AFP
VAKSIN Covid-19 Sinovac. FOTO fail AFP

Mengulas lanjut, Tengku Farok berkata, penjawat awam yang gagal mengambil vaksin boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa.

Beliau berkata, semua penjawat awam tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [PU(A) 395/1993].

Menurutnya, mereka yang belum mendapatkan suntikan vaksin termasuk melengkapkan imunisasi diminta terus ke klinik kesihatan berhampiran tanpa janji temu.

Sumber: My Metro