KUALA TERENGGANU – Seramai 2,000 peserta dari dalam dan luar negara dijangka menghangatkan kejohanan basikal lasak International Golden Monsoon Ride 2022 pada 17 Disember ini.
Kejohanan antarabangsa yang dianjurkan di Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong, Setiu merupakan penganjuran kali kedua Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) yang bakal menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai lebih RM 20,000 serta cabutan bertuah bernilai lebih RM100,000.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, peserta akan menempuh laluan lebih mencabar dengan beberapa laluan berbukit dengan jarak sejauh 37 kilometer pada saingan kali ini.
Menurutnya, pihaknya menjangka kejohanan itu bukan sahaja menarik minat pelumba profesional dalam negara, malah turut disertai peserta dari Indonesia, Thailand dan Singapura.
“Kita percaya kejohanan kali kedua ini bukan saja mampu menarik minat pelumba dari kelab dalam negara, malah turut disertai peserta luar negara.
“Selain hadiah kemenangan lumayan, mereka turut berpeluang membawa pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk sebuah kereta Perodua Myvi dan dua motosikal Yamaha Y16 dan Yamaha NVX,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran kejohanan itu, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Katanya, kejohanan kali ini membabitkan enam kategori itu adalah kesinambungan kejohanan tahun lalu dengan menjanjikan cabaran dalam suasana Monsun Timur Laut di negeri ini.
Tambahnya, kejohanan ini juga disasarkan sebagai pemangkin kepada sektor ekonomi dan pelancongan, membawa limpahan ekonomi buat pengusaha hotel, chalet, makanan serta peniaga-peniaga kecil di negeri ini.
Sumber : UNIT BERITA MANIS FM