Jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang menyifatkan 2020 sebagai tahun paling mencabar yang menyaksikan dia terpaksa mengharungi pelbagai dugaan.
Pelumba kelahiran Terengganu itu berkata, pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia memaksa dia mengubah segala perancangannya biarpun kalendar 2020 disingkap dengan beberapa kejayaan.
“Permulaan 2020 memang baik selepas cemerlang pada saingan Piala Dunia dan meraih dua pingat gangsa di Kejohanan Dunia di Berlin.
“Selepas itu saya pecahkan rekod Asia dalam acara pecut tetapi kemudiannya dapat berita dunia kena lock down (perintah berkurung) disebabkan COVID-19,” katanya.
Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman berkata, dia bernasib baik kerana sempat kembali ke pusat latihan di Melbourne dan terpaksa mencari alternatif lain bagi menjalani latihan.
“Saya dan pasukan berjaya cari jalan penyelesaian dan kami teruskan latihan dan persiapan (ke Olimpik). Kemudian Olimpik kena tangguh pada tahun depan.
“Terpaksa pula berbincang dengan pasukan dan susun semula program latihan. Alhamdulillah masih dapat kekalkan motivasi dan fokus walaupun banyak cabaran dan dugaan.
“Bukan sesuatu yang mudah tetapi apabila ada kemahuan di situ ada jalan. Penutupnya, berjaya memenangi emas di Kejohanan Kebangsaan Australia.
“Saya amat teruja dengan prestasi semasa kerana belum lagi berada pada tahap 100 peratus tapi mampu mengalahkan pesaing dari Australia yang kini berada di tahap terbaik mereka,” katanya.
Di sebalik cabaran yang dihadapinya, Azizulhasni membuktikan dia tetap di landasan tepat bagi memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Tokyo tahun depan apabila menutup tirai kalendar 2020 dengan kejayaan menjuarai acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Kebangsaan Australia di Brisbane, minggu lalu.
Pada saingan itu, dia berjaya mengatasi bekas juara dunia pecut yang juga pelumba trek nombor satu Australia, Matt Glaetzer yang berpuas hati di tempat kedua.
Sumber : BeritaHarian