21 anak anjing seludup bernilai RM168,000 dirampas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Rantau Panjang: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 21 ekor anak anjing seludup bernilai RM168,000 di Taman Permai, Gual Nering, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, anggota bertugas terserempak Mitsubishi Pajero dalam keadaan mencurigakan di pangkalan haram Kubang Rambutan, di sini.

Katanya, anggota cuba menahan kenderaan berkenaan namun pemandunya bertindak memecut laju ke arah Pasir Mas untuk melarikan diri.

“Anggota terus mengekori Pajero terbabit sebelum pemandu mengubah arah ke Taman Permai dan berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan menemui sembilan sangkar mengandungi 21 ekor anak anjing disyaki diseludup dari Thailand.

“Pemandu ditahan manakala semua anjing dirampas untuk dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang bagi tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Maqis 2011,” katanya dalam satu kenyataan media.

Nor Azizan berkata, anak anjing itu juga akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Negeri Kelantan untuk tindakan seterusnya.

“Kesemua anak anjing berkenaan dipercayai dibawa seludup melalui jalan sungai untuk memenuhi permintaan peminat haiwan peliharaan tempatan.

“Biasanya, ia dijual pada harga serendah RM3,000 sehingga RM5,000 seekor. Walaupun harganya agak mahal, namun ia masih mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pencinta haiwan.

“Kekerapan penyeludupan haiwan peliharaan berkemungkinan kerana nilainya yang lebih murah ditawarkan di negara jiran selain turut mendapat permintaan bukan saja dari Kelantan, malah negeri lain,” katanya.

Sumber: My Metro