21 Murid Tabika Kemas Terperangkap Banjir Kilat Di Ampang Diselamatkan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Tindakan pantas pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan 21 murid dalam kejadian banjir di Jalan Hulu Klang, Batu 8, berhampiran Klang Gate, di sini, pada Selasa.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, bilik gerakan operasi bencana negeri menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 10.28 pagi.

Pihaknya kemudian menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

“Sampai di lokasi mendapati empat rumah dan sebuah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) telah terjejas banjir.

“Bomba telah mengarahkan penghuni rumah untuk pindah ke balai penghulu, manakala 21 pelajar Tabika Kemas telah diserahkan kepada ibu bapa masing-masing,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, turut terdapat empat guru di premis tabika berkenaan dan pemantauan pihak bomba di lokasi mendapati situasi air menurun.

Terdahulu tular video di media sosial menunjukkan sebilangan besar murid tabika berkenaan berdiri di atas meja dalam sebuah tabika dikatakan terletak di Klang Gate, Hulu Klang selepas premis itu dinaiki air akibat hujan lebat pagi tadi.

– AWANI