21 Stesen Siren Amaran Awal Banjir di Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA BERANG – Sebanyak 21 stesen siren amaran awal banjir telah dipasang di Terengganu bagi memastikan penduduk sentiasa lebih bersiap siaga menghadapi banjir tahun ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Osman Abdullah, berkata stesen siren yang bernilai RM80,000 setiap satu itu dinaik taraf menerusi Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB).

Beliau berkata, stesen siren amaran itu ditempatkan di lembangan di Terengganu terutama di kawasan yang sering dinaiki air dan berhampiran rumah penduduk.

Katanya, daripada jumlah itu, enam siren ditempatkan di Setiu, Hulu Terengganu (lima), Kemaman (empat), Besut (tiga) dan masing-masing satu Kuala Terengganu/Kuala Nerus, Marang dan Dungun.

“Siren itu akan mengeluarkan dua bunyi selama satu minit iaitu apabila mencecah paras amaran dan paras bahaya serta boleh didengari dalam jarak radius satu kilometer.

“Apabila berlaku amaran, kita akan hebahkan kepada bilik gerakan negeri sebelum ia dimaklumkan bilik gerakan daerah untuk tindakan selanjutnya.

“Kita berhasrat untuk menambah lagi stesen siren amaran ini terutama membabitkan daerah Besut dan Kemaman di bawah PRAB Fasa 2,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke stesen pemantauan banjir di Masjid Kampung Pengkalan Ajal Hulu Terengganu di sini, hari ini.

Pada lawatan itu, Osman turut melakukan tinjauan di Stesen Siren Amaran Banjir di Kampung Pengkalan Ajal di sini.

Osman berkata, sebanyak RM6.6 juta diperuntukkan untuk penyelenggaran lebih 80 sungai dan alur serta parit di seluruh Terengganu pada 2021 bagi mengurangkan risiko banjir.

Katanya, pihaknya melalui Bahagian Sumber Air dan Hidrologi serta bahagian berkaitan di JPS giat menyelenggara dan memastikan stesen pemantauan banjir di seluruh negeri berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan sewajarnya.

“Setakat ini, terdapat 93 stesen hujan dan aras air termasuk 34 stesen ramalan dan amaran banjir PRAB Fasa 1 dan tujuh web cam berada dalam keadaan siap sedia untuk menghadapimonsun timur laut (MTL).

“Selain itu, projek PRAB Fasa 2 dengan 66 stesen di seluruh Terengganu sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada November 2022.

“Dengan terlaksananya kedua-dua PRAB Fasa 1 dan Fasa 2 ditambah dengan stesen sedia ada, Terengganu akan mempunyai sebanyak 159 stesen pemantauan banjir di seluruh Terengganu,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN